Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pasaran saham tempatan dijangka menunjukkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama tahun 2021 (1H21).
Bagaimanapun, memasuki enam bulan terakhir tahun hadapan, pasaran di Bursa Malaysia dijangka berdepan pelbagai cabaran, seterusnya CGS-CIMB meramalkan prospek kurang positif pada tempoh berkenaan.
Ini didorong oleh kadar pertumbuhan perolehan syarikat-syarikat mungkin mengecewakan pada 2H21 selain pakej rangsangan yang menyokong perniagaan dan rakyat bakal berakhir pada tahun hadapan.
Jelas CGS-CIMB, ramalan itu juga dibuat berdasarkan jangkaan mudah tunai tambahan kepada pelabur runcit juga merosot berbanding tahun lepas dengan penggantungan pembelian singkat yang bermula 24 Mac, kemudiannya dilanjutkan tiga kali oleh Bursa Malaysia mungkin berakhir 31 Disember 2020.
“Potensi perubahan lain pada 2021 adalah aliran masuk bersih tahunan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), salah satu pelabur institusi utama dalam pasaran ekuiti Malaysia, mungkin menerima impak daripada pelaksanaan i-Sinar bermula 1 Januari 2021.
“Dalam pada itu, prospek itu mengambil kira kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan apabila pandemik COVID-19 terkawal,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini.
Indeks pasaran saham tempatan, FBM KLCI jatuh sejak awal tahun ini disebabkan oleh penjualan asing ketika wujudnya kebimbangan impak pandemik COVID-19 ke atas perolehan syarikat.
Nilai penjualan itu melonjak sehingga akhir suku pertama 2020 (1Q20) dan menjunam ke paras 1,220 pada 19 Mac memandangkan kebanyakan negara mula melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 selain didorong oleh perubahan kerajaan ketika itu.
Bagaimanapun, minat pelabur runcit yang tinggi, prestasi luar biasa oleh pemain kaunter sarung tangan dan perkembangan vaksin COVID-19 membantu KLCI untuk melonjak semula mencapai paras tertinggi baharu 1,628 mata asas pada 8 Disember 2020.
KLCI menyaksikan lonjakan sebanyak 7% susulan pengumuman penemuan vaksin percubaan Pfizer Inc. yang berkesan lebih 90% pada 9 November lalu.
Sejak itu, banyak saham mula meraih keuntungan tinggi terutama kaunter yang berpotensi menerima manfaat daripada pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara.
“Kami mengekalkan unjuran KLCI mencecah 1,628 pada penghujung 2020, tetapi meningkatkan sasaran pada penghujung 2021 kepada 1,759 mata asas daripada 1,732 bagi menunjukkan perubahan dalam konstituen KLCI.
“Sektor pilihan kami adalah bank, perjudian, minyak dan gas, media, pembungkusan, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan. Manakala, tiga pilihan teratas kami adalah Inari Amerton Berhad, Public Bank Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.
“Kami menjangkakan perolehan KLCI akan merosot sehingga 10% pada tahun 2020 sebelum melonjak semula sebanyak 38% menjelang 2021. Risiko utama kepada ramalan kami termasuk pertumbuhan global yang lebih perlahan, jangka masa vaksinasi tidak mengikut perancangan serta peningkatan risiko perdagangan dan ketidaktentuan politik,” tambah CGS-CIMB.
CGS-CIMB menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 7.5% menjelang 2021 (-5% pada 2020) dan perolehan KLCI melonjak 37.7% pada 2021. - DagangNews.com