Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Prospek pendapatan dan perolehan Gamuda Bhd bagi tahun kewangan 2022 dijangka terus mencatatkan pemulihan kukuh berikutan penyambungan semula aktiviti pembinaan dan perniagaan serta peningkatan kapasiti tenaga kerja.
MIDF Research berkata, selain itu, lembaran imbangan kumpulan yang diperkukuh dengan penurunan gear menjadi 21% daripada 30% memberikannya kapasiti pinjaman yang ditingkatkan sebanyak RM4 bilion yang berpotensi digunakan untuk projek PSI.
"Ditambah dengan fokus untuk pengembangan luar negeri terutama bagi projek di Vietnam, kami tetap positif bahawa prospek kumpulan akan terus berkembang.
"Selepas mempertimbangkan semua faktor, kami mengekalkan cadangan 'BELI' bagi saham Gamuda," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.
Sementara itu Public Investment Bank berkata, unjuran pendapatan bagi Gamuda dilihat hanya akan meningkat bermula pada tahun kewangan 2023 dan seterusnya.
Ujarnya, ini kerana Gamuda merancang untuk melancarkan projek baharunya di Binh Duong New City, Vietnam dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah AS$117 juta pada separuh kedua 2022.
BACA JUGA: Gamuda beli tanah di Vietnam bernilai RM228.5 juta
"Berdasarkan andaian awal kami terhadap margin sebelum cukai 15% dan tempoh pembangunan selama 5 tahun dengan kemajuan dan penjualan tertentu, projek ini diharapkan dapat meningkatkan pendapatan sesaham Gamuda pada tahun kewangan 2023 dan 2024 masing-masing dalam julat 2.4% hingga 3.1%," katanya,
Gamuda mengumumkan bahawa ia akan memperoleh tanah seluas 13.8 ekar yang di Binh Duong New City, Vietnam dengan harga AS$53.88 juta atau kira-kira RM228.5 juta.
Pengambilalihan Binh Duong dijangka akan memperluaskan projek sedia ada di Celadon City yang kini berbaki 20 ekar (RM750 juta GDV) dan dijangka akan dibangunkan sepenuhnya dalam 2 tahun akan datang.
Gamuda merancang untuk melancarkan projek pada separuh kedua tahun hadapan dengan GDV RM495 juta setelah selesainya pengambilan tanah pada suku ketiga 2022. -DagangNews.com