Prospek pendapatan Hiap Teck dijangka tidak menentu akibat harga keluli global tidak stabil | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Hiap Teck dijangka tidak menentu akibat harga keluli global tidak stabil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan prospek pendapatan Hiap Teck Venture Berhad tidak menentu kesan daripada pelbagai faktor semasa.

 

Firma itu berkata, antara faktor yang memberi kesan termasuk konflik Rusia-Ukraine yang berterusan yang membuatkan produk kelului Rusia membanjiri pasaran dengan harga yang murah selain Eropah mengarahkan semula permintaan arang batunya dari Rusia ke Asia.

 

Katanya, keadaan itu juga mengakibatkan harga tidak menentu antara keluli dan arang kok (semuber utama tenaga di dalam relau).

 

"Kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi semakin meningkat mengakibatkan perniagaan dan pengguna semakin berhati-hati selain aktiviti pembinaan yanh lemah di peringkat domestik (dijangka bertambah baik selepas 2024).

 

"Kumpulan itu melihat China menjadi punca utama kepada pemulihan dengan pihak berkuasa mereka sedang merangsang semula pertumbuhan ekonomi dan membuka semula sempadan secara beransur-ansur.

 

"Bagi jangka panjang, China yang juga pengeluar serta pengguna keluli terbesar dunia akan memperbaharui sektor kelulinya bagi menghasilkan keuntungan yang lebih stabil dalam kalangan pemain keluli di rantau ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, rancangan pembesaran kilang Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESBB) dijangka siap pada awal 2024 dengan ia akan berubah menjadi pengeluar keluli bersepadu.

 

Katanya, menerusi perkembangan itu, mereka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 2.7 juta tan setahun (berbanding 0.7 juta tan setahun) dan kilang HRC dengan kapasiti 2 juta tan setahun.

 

"Kami mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras FY22 tetapi mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras FY23-24 masing-masing sebanyak 18.8% dan 18.2%, selepas mengambil kira andaian pendapatan bersekutu yang lebih rendah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM0.52 berbanding RM0.63. - DagangNews.com