Prospek perolehan Genting kekal berisiko - Firma | DagangNews Skip to main content

Prospek perolehan Genting kekal berisiko - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Prospek perolehan Genting Berhad kekal tidak menentu dan berisiko dalam masa terdekat ini. 

 

Bagi penganalisis di Kenanga Research, Teh Kian Yeong, peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan Singapura akan menghalang prestasi kumpulan yang lebih baik di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). 

 

“Prospek bercampur-campur memasuki suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) memandang lonjakan semula kes COVID-19 di Malaysia dan Singapura akan menghalang situasi lebih baik di UK dan AS. 

 

“Secara keseluruhannya, jumlah perniagaan (Genting) dijangka pulih bermula separuh kedua FY21 (2HFY21) dan seterusnya didorong pelaksanaan vaksinasi yang kelihatan positif di negara-negara barat dengan kadar vaksinasi yang lebih tinggi. 

 

“Pasca prestasi 1QFY21, kami menurunkan unjuran FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak 40% dan 7% memandangkan lonjakan kes COVID-19 dijangka melambatkan pemulihannya. Namun, tiada perubahan kepada ramalan dividen,” jelas Kian Yeong dalam nota kajiannya.

 

Genting sekali lagi mencatatkan kerugian bagi suku tahun semasa, yang berkembang kepada RM109.2 juta susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberi impak teruk ke atas Genting Malaysia Berhad (GENM).

 

Prestasi itu tersasar daripada ramalan Kenanga, seterusnya menurunkan harga sasaran (TP) Genting kepada RM5.58, namun penarafan ‘outperform’ ke atas saham kumpulan dikekalkan. 

 

Bagi suku semasa, GENM juga mencatatkan kerugian yang lebih besar, RM426.3 juta dan Kian Yeong percaya prestasinya akan bertambah baik jika Malaysia menyaksikan kadar vaksinasi yang lebih tinggi menjelang 2HFY21. 

 

Penarafan ‘outperfom’ turut dikekalkan ke atas saham GENM dengan TP diturunkan kepada RM3.00. 

 

“Dengan PKP 3.0 yang masih berterusan, GENM dijangka mencatatkan satu lagi suku tahun yang lemah pada 2QFY21, tetapi ini akan dikurangkan oleh pembukaan semula perniagaan di UK sejak 17 Mei, sementara operasi AS dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh bermula bulan depan,” tambah Kian Yeong. 

 

Prestasi kewangan kedua-dua Genting dan GENM turut tersasar daripada unjuran CGS-CIMB Research, yang seterusnya menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) Genting bagi FY21 sebanyak 60%. 

 

Ini selepas unjuran perolehan GENM, Genting Singapore (GENS) dan Genting Plantations Berhad (GENP) turut diturunkan, jelas firma penyelidikan itu. 

 

Firma penyelidikan itu meramalkan kerugian yang lebih besar bakal dicatatkan GENM, mencecah RM851 juta bagi sepanjang tahun kewangan semasa selepas mengambil kira faktor sekatan rentas negeri yang berpanjangan dan penutupan kasino Resort World Genting (RWG) semasa PKP 3.0. 

 

“Namun, kami masih lagi melihat perniagaan RWG akan pulih beransur-ansur daripada COVID-19 bermula 3QFY21, dibantu oleh insentif pelancongan dan pembukaan SkyWorlds dengan pemulihan penuh pada FY22.

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih utama FY22 dan FY23 (GENM) akan melonjak semula kepada masing-masing RM1.2 bilion dan RM1.4 bilion,” tambah CGS-CIMB. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Genting dan GENM, namun TP masing-masing diturunkan kepada RM6.90 dan RM3.10. - DagangNews.com