Prospek positif, MIDF kekalkan saranan ‘tambah’ saham Hartalega | DagangNews Skip to main content

Prospek positif, MIDF kekalkan saranan ‘tambah’ saham Hartalega

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Firma penyelidikan, MIDF Research mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham syarikat sarung tangan, Hartalega Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM12.96 daripada RM18.25. 

 

Ini selepas kumpulan itu berjaya merekodkan prestasi kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4Q21) yang sejajar ramalan dibuat MIDF. 

 

Penganalisisnya, Ng Bei Shan percaya permintaan bagi sarung tangan getah akan terus mengukuh dalam jangka masa pendek hingga sederhana didorong oleh kesedaran kebersihan yang lebih baik di seluruh dunia. 

 

“Penilaian itu juga tidak mustahak walaupun selepas mengambil kira purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah pada penghujung tahun 2021 dan 2022.

 

“Kami menjangkakan 1Q22 akan berprestasi lebih kukuh berbanding 4Q21 dipacu oleh pemulihan dalam jumlah pengeluaran. 

 

“Kami difahamkan bahawa kadar penggunaan telah pulih melebihi 90% sejak pengeluarannya terganggu pada suku tahun sebelumnya. Dalam pada itu, kami menjangkakan ASP akan terus bertambah baik pada 1Q22 berbanding 4Q21,” jelas Bei Shan dalam nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, Hartalega mengumumkan keuntungan bersih syarikat bagi tahun kewangan 2021 (FY21) yang berakhir 31 Mac lalu mencecah RM2.90 bilion. 

 

Baca : Hartalega untung RM2.9 bilion bagi FY21

 

Ini dipacu oleh hasil jualan yang lebih tinggi, sekali gus mengisytiharkan dividen interim tahap satu bernilai 17.70 sen sesaham.

 

“Kami telah mengemaskini beberapa ramalan untuk menggambarkan keadaan pasaran semasa dan kos input dengan lebih baik. 

 

“Oleh itu, unjuran perolehan kami disemak semula sebanyak +46.8% dan +2.0%, masing-masing bagi FY22 dan FY23,” tambah beliau. 

 

Setakat 9.58 pagi, nilai saham Hartalega menokok 4 sen kepada RM9.97. - DagangNews.com