Prospek REIT diunjur positif didorong permintaan kukuh bagi pusat data, gudang berteknologi tinggi | DagangNews Skip to main content

Prospek REIT diunjur positif didorong permintaan kukuh bagi pusat data, gudang berteknologi tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Prospek amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia diunjur positif didorong permintaan kukuh untuk pusat data dan gudang berteknologi tinggi, kata CIMB Securities.

 

Menjelang 2025, firma penyelidikan itu berkata, pakar industri di Forum Amanah Pelaburan Hartanah Malaysia (M-REIT) baru-baru ini menyatakan keyakinan terhadap sektor perindustrian dan pada masa sama mengenal pasti beberapa cabaran dalam sektor pejabat.

 

Katanya, mereka optimis tetapi kekal berhati-hati terhadap sektor pejabat apabila pekerja kembali ke persekitaran semasa dengan menjangkakan kadar sewa yang lebih tinggi untuk ruang pejabat utama.

 

"Bagaimanapun, mereka mengunjurkan kadar penghunian yang rendah untuk bangunan pejabat Gred C (atau hartanah lama dengan kemudahan terhad dan infrastruktur asas) dengan pembukaan bangunan pejabat TRX dan Merdeka 118," katanya dalam satu nota nota kajian, hari ini.

 

Mengenai pelaburan dalam REIT Malaysia, firma penyelidikan itu berkata, pelabur lazimnya mencari pertumbuhan yang stabil dan mampan dengan hasil tinggi melebihi Sekuriti Kerajaan Malaysia.

 

Katanya, saiz pasaran tertentu menawarkan kecairan saham dan prospek pertumbuhan jangka panjang serta inisiatif amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

CIMB Securities berkata, pakar menunjukkan, jangkaan umum untuk jumlah pulangan REIT adalah kira-kira 10% setahun, dan pelabur biasanya lebih suka REIT bagi menumpukan pada aset tempatan dan membayar dividen tetap.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, purata skor ESG FTSE bagi sektor REIT ialah 2.7, iaitu di bawah markah kemasukan penanda aras 2.9 untuk Indeks FTSE4Good.

 

"Ini menunjukkan bahawa terdapat ruang untuk pemain industri REIT meningkatkan amalan ESG mereka," katanya.

 

CIMB Securities mengekalkan penarafan 'neutral' untuk sektor itu, dengan pilihan utama ialah IGB REIT dan Sunway REIT. - DagangNews.com