Prospek sektor telekomunikasi terus dibelenggu ketidakpastian peralihan dwi rangkaian 5G – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor telekomunikasi terus dibelenggu ketidakpastian peralihan dwi rangkaian 5G – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Sektor telekomunikasi dibelenggu oleh ketidakpastian fasa peralihan dwi rangkaian 5G yang menyebabkan prospek sektor kekal mencabar pada 2024, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor ini dan berkata kemungkinan kenaikan dalam pembayaran pajakan Digital Nasional Bhd boleh memberi kesan buruk kepada pendapatan syarikat telekomunikasi.

 

Jelasnya, syarikat telekomunikasi kini membayar jumlah nominal untuk menggunakan perkhidmatan 5G DNB dan apabila syarat yang diperlukan (seperti DNB mencapai liputan 80%) dipenuhi, yuran tahunan minimum akan meningkat kepada RM360 juta untuk Maxis dan RM288 juta bagi setiap syarikat telekomunikasi yang lain.

 

“Dengan mengandaikan syarikat telekomunikasi mengekalkan tahap pelaburan rangkaian semasa mereka (dengan itu aliran tunai terdiskaun neutral), bahagian perbelanjaan operasi lebih tinggi (yang tidak disusut nilai), secara teorinya, akan mencairkan pendapatan syarikat telekomunikasi,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Maybank IB berpendapat bahawa kebimbangan terhadap pengurangan harga akses untuk jalur lebar tetap mereda selepas Maxis memuktamadkan perjanjian komersialnya dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) pada Disember 2023.

 

Firma itu berkata, industri telekomunikasi semakin menggambarkan perlumbaan yang berlarutan apabila persaingan menghalang pengewangan dan tuntutan kawal selia semakin ketat.

 

“Memandangkan pendapatan tidak stabil, kami percaya syarikat telekomunikasi hanya boleh bergantung pada pengoptimuman kos (termasuk penggabungan) untuk mengekalkan pendapatan.

 

“Di Malaysia, syarikat telekomunikasi yang mampu menangani kos, pada pandangan kami, adalah TM (kos am), Axiata Bhd (kos pegangan bersama dan kewangan) dan CelcomDigi Bhd(merealisasikan sinergi penggabungan),” katanya.

 

Firma itu menyarankan pelabur ‘beli’ saham TM dan Axiata masing-masing dengan harga sasaran (TP) RM6.50 dan RM3.

 

Pada pukul 3:47 petang ini, saham TM telah menokok 4 sen atua 0.7% kepada RM5.70 dengan permodalan pasarannya bernilai RM21.9 bilion.

 

Saham Axiata pula naik 9 sen atau 3.8% kepada RM2.47, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM22.7 bilion.  - DagangNews.com