Prospek Sime Darby Plantation kekal cerah di sebalik isu buruh paksa  | DagangNews Skip to main content

Prospek Sime Darby Plantation kekal cerah di sebalik isu buruh paksa 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Prospek Sime Darby Plantation Bhd. dilihat terus kukuh meskipun berdepan dengan perintah tahanan pelepasan (WRO)  yang dikenakan Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

MIDF Research menjangkakan pendapatan kumpulan akan terus dipacu oleh harga MSM walaupun pengeluaran buah tandan segar mungkin terjejas disebabkan kekurangan tenaga buruh. 

 

Katanya, segmen hiliran juga akan mencatat prestasi yang lebih baik pada suku akan datang. 

 

"Mengenai WRO pula, kami yakin prospek kumpulan kekal kukuh memandangkan Sime Darby Plantation bercadang untuk membuat penambahbaikan apabila laporan itu penilaian itu lengkap pada awal 2022," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Sime Darby Plantation dengan harga sasaran disemak semula kepada RM6.10 berbanding RM5.77 sebelum itu. 

 

 

Baca :  Untung bersih Q2 melonjak 63%, Sime Darby Plantation kekal strategi perkukuh kumpulan 

 

Baca : Sime Darby Plantation dijangka lengkapkan penilaian amalan buruh awal 2022

 

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Sime Darby Plantation meningkat 63.2% kepada RM617 juta berbanding RM378 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan turut meningkat kepada RM4.41 bilion daripada tempoh sama tahun lalu sebanyak RM3.22 bilion. 

 

Sementara itu, bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2021, untung bersihnya melonjak kepada RM1.18 bilion daripada RM846 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM8.08 bilion daripada RM6.26 bilion. 

 

Sebelum ini, Sime Darby Plantation memaklumkan untuk melengkapkan kajian penilaian ke atas operasi perladangan di Malaysia menjelang awal 2022.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research menyamak naik saranan kepada 'beli' berbanding 'pegang' bagi saham Sime Darby Plantation dengan harga saksama yang tinggi pada RM4.88.

 

"Kami juga meningkatkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 47% dengan mengambil kira harga MSM yang tinggi pada RM3,500 per tan metrik dan pendapatan segmen hiliran yang di luar jangkaan.

 

"Selain itu, kami turut menaikkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 21.5% dengan menjangkakan harga MSM akan berlegar pada RM3,000 per tan metrik," katanya. 

 

Setakat 9.33 pagi ini, sahamnya menokok 6 sen atau 1.56% kepada RM3.91.- DagangNews.com