Prospek suram ekonomi global menjelang 2023 pengaruhi dagangan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Prospek suram ekonomi global menjelang 2023 pengaruhi dagangan Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Okt - Eksport Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan dipengaruhi prospek ekonomi global yang suram menjelang 2023. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, eksport bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) akan mulai menurun di tengah-tengah permintaan global yang kembali normal bagi E&E.

 

China, khususnya, mempunyai bahagian pasaran terbesar dalam semikonduktor pada 31.5% dan berkemungkinan menerajui pertumbuhan perlahan dan seterusnya di tengah-tengah isu pertumbuhan domestiknya sendiri yang turut terjejas dengan sekatan perdagangan Amerika Syarikat (AS).

 

Sementara itu, prospek eksport minyak sawit juga kekal suram, kerana Indonesia telah melanjutkan pengecualian duti eksport produk itu untuk kali kedua mulai Oktober hingga akhir tahun, meletakkan eksport minyak sawit domestik dalam tekanan yang lebih lama.

 

"Secara keseluruhan, kita dapat melihat sedikit kekuatan yang mampan daripada ringgit yang lebih lemah. Bagaimanapun, tekanan daripada kelembapan ekonomi global mungkin akan lebih kuat menjelang akhir tahun.

 

"Ini dapat dilihat berdasarkan penguncupan dalam bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan global sekitar 49.8 pada Oktober, penyusutan pertama di bawah paras neutral 50.0 sejak Jun 2020," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Namun, beliau mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan pada 2023 sekitar 5% berbanding 7.3% tahun ini.

 

Baca : Perdagangan Malaysia pada September meningkat kepada RM256.91 bilion

 

Semalam, data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan perdagangan Malaysia naik 31.4% kepada RM256.91 bilion berbanding September 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-20 bulan berturut-turut.

 

Eksport meningkat 30.1% kepada RM144.31 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-14 bulan berturut-turut, manakala import berkembang 33% kepada RM112.60 bilion dan lebihan dagangan mencatatkan rekod tertinggi baharu, bertambah sebanyak 20.9% kepada RM31.71 bilion.

 

Pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank menjangkakan prestasi eksport bagi 2022 akan lebih menyederhana terutama disebabkan penghantaran E&E yang lebih perlahan kerana beberapa produk elektronik telah dilancarkan ke pasaran dengan syarikat teknologi memperlahankan tempahan.

 

Pada masa sama, katanya, harga komoditi termasuk minyak sawit mentah juga semakin menurun manakala penghantaran berkaitan tenaga seperti LNG dijangka lebih kukuh, terutamanya menuju ke musim sejuk dan permintaan yang lebih tinggi dari Jepun, China dan Korea Selatan.

 

"Angka PMI terkini merosot daripada 50.3 kepada 49.1 pada September, mencerminkan pesanan yang lebih perlahan daripada negara rakan dagangan. 

 

"Kebimbangan ini berpunca daripada kelembapan ekonomi global menjelang 2023, dan keadaan kewangan yang lebih ketat boleh menjejaskan prospek perdagangan," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan eksport Malaysia akan mencatat pertumbuhan sekitar 24% hingga 25% tahun ini, dengan pertumbuhan lebih perlahan pada suku keempat, dipengaruhi kelembapan ekonomi global. - DagangNews.com