Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Mac - Beberapa pemangkin utama meletakkan pemain industri pengangkutan dalam sektor pelabuhan berada pada landasan pertumbuhan sekali gus dijangka mencatatkan keputusan kewangan syarikat yang lebih baik pada tahun kewangan 2021 (FY21).
Walaupun aktiviti perdagangan terjejas teruk pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19, namun pemain industri pelabuhan di bawah liputan MIDF Research seperti MMC Corporation Berhad dan Westports Holdings Berhad berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan dan kukuh.
Menurut MIDF, dengan kerajaan dan perniagaan yang lebih mahir dalam menguruskan jangkitan COVID-19, firma penyelidikan itu percaya tindakan yang menghalang aliran perdagangan sebelum ini tidak akan berulang pada 2021.
Kedua, pelancaran program vaksinasi yang besar dijangka secara perlahan-lahan mengurangkan kadar jangkitan dan mengendalikan pandemik ke tahap yang lebih terkawal, ramal MIDF.
Dalam pada itu, ujar MIDF, rangsangan fiskal yang besar akan menyokong pemulihan ekonomi dan membawa ke tahap pemulihan.
“Dalam pandangan kami, kedua-dua pengendali pelabuhan bakal menyaksikan jumlah muatan kontena yang lebih tinggi tahun ini. Kami berpendapat MMC akan mencatatkan pertumbuhan unit setara dua puluh kaki (TEU) sebanyak 3.0% pada FY21 berbanding tahun sebelumnya.
“Ini akan didorong oleh pemulihan muatan kontena dan kargo konvensional untuk kumpulan pelabuhan yang lebih kecil seperti Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor sebanyak +10.0% tahun ke tahun, berbanding penguncupan -17.0% pada FY20.
“Bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), kami menerapkan andaian prestasi yang lebih berhati-hati dengan prestasi yang sama tahun lalu pada kadar 9.85 juta TEU. Kami meletakkan ramalan positif sama terhadap Westports,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.
Walaupun terdapat prospek positif, namun MIDF menasihatkan para pelabur untuk berhati-hati terhadap tahap pemulihan dan pertumbuhan statistik operasi kedua-dua syarikat itu.
Muatan bagi setiap suku tahun yang lebih rendah daripada jangkaan mungkin menjadi petunjuk kepada prestasi ‘suram’ oleh pemain industri ekoran pemulihan ekonomi yang merosot, tegas MIDF.
Selain itu, impak program vaksinasi dan pertumbuhan ekonomi mungkin mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana rakyat dan kerajaan mungkin lebih berhati-hati, ujar MIDF lanjut.
“Buat masa ini, kami ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan memandangkan senario pemulihan yang kami senaraikan masih berada pada tahap awal. Pandemik ini masih menular dan pengedaran vaksin masih pada tahap permulaan.
“Tambahan pula, kemungkinan kesesakan rantaian bekalan serantau dan jangkitan COVID-19 di kemudahan pelabuhan akan memberi kesan negatif terhadap prestasi pemain industri itu,” tambah MIDF.
Setelah mengambil kira jangkaan tersebut, MIDF meramalkan muatan kontena MMC akan pulih pada FY21 sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 7.8% bagi tahun kewangan sama.
Menerusi pengendali perkapalan pelabuhan terbesar di dunia, Maersk, MIDF percaya syarikat perkapalan itu akan memastikan PTP kekal sebagai hab penghantaran serantau dan menjaminkan kelangsungan jumlah TEU.
Untuk rekod, Maersk memegang 30% kepentingan dalam PTP.
Sehubungan itu, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap MMC dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM1.30 sesaham.
Firma penyelidikan itu dalam masa sama mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham Westports dengan TP pada kadar RM4.30 sesaham.
Setakat 3.11 petang, nilai saham MMC menyusut 4 sen kepada RM1.02 sementara nilai saham Westports menokok 8 sen kepada RM4.23. - DagangNews.com