Prospek Wessex Water milik YTL Power diunjur positif didorong prestasi operasi cemerlang - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek Wessex Water milik YTL Power diunjur positif didorong prestasi operasi cemerlang - RHB Investment

KUALA LUMPUR 10 Julai - Wessex Water, firma air dan pembetungan milik YTL Power International Bhd di United Kingdom (UK) dijangka memiliki prospek cerah diorong prestasi operasi cemerlang serta rancangan perbelanjaan modal (capex) yang tinggi.

 

RHB Investment berkata, Wessex Water merupakan antara 10 perniagaan air dan pembetungan serantau di England dan Wales dan telah disenaraikan secara konsisten sebagai syarikat air dan pembetungan terbaik, menurut pengawal selia industri.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia telah mengemukakan pelan perniagaan lima tahunnya (2025–2030) kepada pihak berkuasa kawal selia perkhidmatan air (Ofwat), termasuk pulangan yang lebih tinggi dan peruntukan perbelanjaan modal sebanyak 3.5 bilion pound dalam tempoh lima tahun akan datang, meningkat daripada 1.4 bilion sebelumnya.

 

"Kami faham bahawa lonjakan ketara itu didorong oleh keperluan undang-undang atau peraturan mengenai langkah-langkah yang diterajui kebersihan sungai dan boleh mengakibatkan peningkatan kira-kira 30% dalam purata bil. Hasilnya mungkin diketahui menjelang akhir tahun ini, "katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

RHB Investment berkata, syarikat air dan agensi kerajaan di UK kini menilai semula strategi untuk pemuliharaan air dan kesediaan kemarau memandangkan negara itu telah mengalami cuaca yang lebih ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Katanya, terdapat beberapa rancangan jangka panjang bagi memastikan permintaan air jangka panjang dipenuhi, terutamanya apabila terdapat keperluan mengurangkan bekalan air bawah tanah dengan memberikan semula air kepada alam sekitar untuk pemeliharaan yang mampan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, YTL Power sedang mengembangkan cabang pembinaannya di UK dan melihat kelebihan daya saing berbanding rakan domestiknya dengan mengimport bahan binaan dari rantau Asia.

 

Katanya, ketia ini, syarikat itu sedang membangunkan projek pertamanya di Brabazon Bristol, UK, yang merupakan pembangunan bandar bercampur. 

 

Fasa pertama, dikenali sebagai Daerah Hangar, terdiri daripada 302 unit kediaman yang dibahagikan kepada 127 unit tanah dan 175 unit pangsapuri.

 

"YTL Power sedang dalam proses menyiapkan fasa seterusnya bagi 339 rumah baharu di Brabazon," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM6.68 sesaham.- DagangNews.com