Prospek Westports kekal positif dengan pembinaan terminal baharu | DagangNews Skip to main content

Prospek Westports kekal positif dengan pembinaan terminal baharu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Penganalisis berpandangan positif terhadap prospek Westports Holdings Bhd. berikutan prestasi kewangan suku kedua yang kukuh.

 

MIDF Research menyemak naik saranan terhadap Westport kepada 'beli' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM4.45.

 

Ia bersandarkan kepada 2 faktor iaitu pertamanya, tarif pengangkutan rendah dalam kalangan pesaingnya, seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Singapura walaupun selepas mengambil kira kenaikan tarif fasa kedua Mac 2019.

 

"Kedua, lanjutan Ocean Alliance kepada 10 tahun (awalnya lima tahun) hingga 2027, akan mengurangkan kesan daripada rombakan kesepakatan itu yang dilihat secara mendalam pada tahun kewangan 2017" katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Namun begitu, menurut firma itu, sumbangan syarikat daripada perdagangan intra-Asia dan Asia-Eropah akan berdepan tekanan sementara ekoran pandemik COVID-19 sepanjang tahun ini. 

 

Baca : Pengendalian kontena yang tinggi lonjak pendapatan Westports

 

Westports Holdings Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM178 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, meningkat 32.8% berbanding RM134 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM505 juta berbanding RM431 juta didorong oleh jumlah kontena yang lebih tinggi. 

 

Bagi separuh pertama pula, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM1.01 bilion berbanding RM905.07 juta disumbang sebahagian besar menerusi segmen kontena meningkat 11% kepada 5.3 juta TEU.

 

Ia juga menyaksikan untung bersih kumpulan bagi tempoh itu meningkat kepada RM386.3 juta berbanding RM287.15 juta.

 

Dalam tempoh jangka masa panjang, MIDF Research berkata, pelan pengembangan WestPorts 2 dijangka meningkatkan kapasiti hampir 28 juta TEU setahun menjelang 2040 berbanding 13 hingga 13.5 juta TEU ketika ini.

 

"Ini membolehkan Westports bersaing dengan lebih efektif dari segi jumlah pengangkutan berbanding Pelabuhan Singapura yang merancang untuk meningkatkan kapasiti kepada kira-kira 65 juta TEU menjelang 2040 berbanding ketika ini 40 juta TEU," katanya.  

 

Sementara itu, Kenanga Research berpendapat, dengan jumlah perbelanjaan modal (capex) bagi Westports 2 (CT10-17) berjumlah kira-kira RM10 bilion, CT baharu itu dijangka meningkatkan  kali ganda kapasiti TEU dalam tempoh 20 tahun. 

 

"Apabila siap (dijangka 2040), kami melihat pelaburan ini dalam tempoh jangka masa panjang kepada kumpulan, justeru, menolak sebarang pembangunan pendapatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

 

Buat masa ini, katanya, terminal baharu itu menanti kelulusan Unit Kerjasama Awam-Swasta, Kementerian Pengangkutan dan rundingan perjanjian konsesi dengan kerajaan. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran pada RM4.20. 

 

Ketika mengakhiri dagangan tengah hari ini, saham Westports menokok 14 sen kepada RM4.20 dengan 516,400 saham diniagakan. -DagangNews.com