Proton bekerjasama dengan smart Automobile perkenal NEV dalam pasaran automotif ASEAN | DagangNews Skip to main content

Proton bekerjasama dengan smart Automobile perkenal NEV dalam pasaran automotif ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Pengeluar kereta nasional, Porton menjalinkan kerjasama dengan smart Automobile Company (smart) bagi memperkenalkan kenderaan tenaga baharu (NEV) keluaran smart dalam pasaran automotif ASEAN yang dilihat semakin berkembang.

 

Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) itu, Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk smart di Malaysia serta Thailand serta smart Automobile (Nanning) Sales Co. Ltd. iaitu anak syarikat smart Automobile akan memainkan peranan sebagai pintu masuk bagi produk smart ke rantau ini. 

 

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, menerusi perjanjian itu, Proton akan mengambil langkah pertama dalam pelaksanaan strategi NEV selain ia membuka peluang lebih banyak kepada jenama Proton.

 

"Perjanjian dengan smart ini membolehkan kami menimba pengalaman dalam penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV serta membina kemahiran yang diperlukan untuk menguasai sektor yang sedang berkembang pesat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis menandatangani MoA itu diadakan secara maya yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah; Naib Presiden Kewangan smart Automobile, Ulf Nestler; Ketua Pegawai Eksekutif, smart Automobile, Tong Xiangbei dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.  

 

Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) meramalkan bahawa lebih 10 juta unit NEV akan digunakan di Asia Tenggara menjelang tahun 2025. 

 

poton

 

Menerusi portfolio produk NEV baharu yang akan dilancarkan pada masa akan datang, smart akan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil peluang daripada perkembangan ini.

 

Sementara itu, Xiangbei berkata, perjanjian itu akan membolehkan pihaknya memasuki pasaran Malaysia dan Thailand lebih awal sebagai pasangan strategik serantau. 

 

poton

 

Menerusi perjanjian dengan Proton Edar, ia membolehkan smart membina rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia dan Thailand, dan juga sebagai pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan smart di pasaran tempatan.

 

poton

 

Beliau berkata, Proton mempunyai reputasi korporat kelas pertama dan berpengalaman luas dan pihaknya berharap kerjasama itu akan memberikan pengalaman baharu kenderaan elektrik yang premium kepada pengguna di Asia Tenggara. 

 

“Dengan strategi perniagaan “dual-home” (Eropah and China), syarikat telah pun meliputi dua pasaran automotif utama di dunia dan sebagai rancangan perniagaan masa hadapan, kami bekerjasama dengan Proton untuk pasaran Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com