Proton beri jaminan lanjutan setahun untuk semua kenderaan PCPO berkuat kuasa serta-merta | DagangNews Skip to main content

Proton beri jaminan lanjutan setahun untuk semua kenderaan PCPO berkuat kuasa serta-merta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - Syarikat kereta nasional, Proton akan memberikan jaminan lanjutan selama setahun untuk semua kenderaan Proton Certified Pre-Owned (PCPO)  berkuat kuasa serta-merta.

 

Kesemua kenderaan PCPO yang dijual melalui cawangan kereta terpakai Proton layak untuk Program Waranti Lanjutan PCPO (PCPO-EW) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance. 

 

Menerusi program itu, bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak semasa penggunaan biasa akan dibaiki atau diganti untuk tempoh 25,000km atau 12 bulan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, menerusi program itu, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi.

 

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) Proton telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan mencapai tahap yang ditetapkan. 

 

proton
Roslan Abdullah

 

Kini, syarikat itu mempunyai 36 cawangan yang menjual kenderaan PCPO dalam negara.

 

“Dengan jumlah jualan Proton yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli. 

 

"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain,” katanya.

 

Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. 

 

Selain menikmati jaminan lanjutan setahun yang meliputi enjin dan transmisi, pelanggan juga mendapat sekali perkhidmatan servis asas yang percuma selepas enam bulan dari tarikh pembelian. - DagangNews.com