Proton catat peningkatan jualan sebanyak 1.6% atau 86,379 unit dalam 10 bulan | DagangNews Skip to main content

Proton catat peningkatan jualan sebanyak 1.6% atau 86,379 unit dalam 10 bulan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov - Proton Holdings Bhd. (Proton) mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 1.6% atau sebanyak 86,379 unit untuk tempoh 10 bulan tahun ini berbanding 84,999 unit untuk tempoh sama tahun lalu.

 

Proton dalam satu kenyataan memberitahu, pencapaian itu mengatasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang menurun sebanyak 4.7 peratus walaupun dengan jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada Oktober untuk 2021.

 

Unjuran pegangan pasaran bagi bulan terbabit adalah sebanyak 20.5 peratus manakala pegangan pasaran bagi tempoh sama berbanding tahun lalu adalah sebanyak 22.7 peratus.

 

"Proton Saga terus menerajui pencapaian jualan dengan 5,107 unit telah dijual pada Oktober, menandakan sudah tiga kali model terbabit melepasi jualan melebihi 5,000 unit tahun ini.

 

"Dalam tempoh yang sama berbanding tahun lalu, Saga juga kekal sebagai peneraju jualan bagi sedan segmen-A yang tidak boleh dipertikaikan dan pilihan untuk pembeli yang mahukan kereta mampu milik dengan ciri-ciri terkini dan mempunyai dinamik perlumbaan yang terbukti," katanya.

 

Pengeluar kereta nasional itu berkata, dua lagi peneraju jualan syarikat ialah model kenderaan SUV, iaitu Proton X50 dan Proton X70.

 

"SUV segmen-B Proton X50 beroleh kejayaan terbaik bulan lalu sejak pelancarannya dengan jualan sebanyak 3,839 unit. SUV yang lebih besar, Proton X70 mengekalkan momentum dengan jualan sebanyak 2,165 pada Oktober, hasil terbaik sejak Mac tahun ini," katanya.

 

Jualan Proton pada Oktober boleh disimpulkan sebagai permintaan daripada pelanggan yang tinggi dan potensi jualan yang belum direalisasikan.

 

"Walaupun gembira dengan populariti Proton Saga dan pencapaian kedua-dua model SUV, kami terlepas untuk meningkatkan jumlah jualan oleh kerana kami berusaha untuk memperoleh bekalan komponen.

 

"Permintaan pasaran dijangka kekal kukuh menjelang akhir tahun dan kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan 2021 ditutup dengan kejayaan yang besar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah. 

 

Mengenai pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini yang mengumumkan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) bagi industri automotif akan dilanjutkan kepada 30 Jun 2022, Proton berkata, ini bukan hanya membawa khabar gembira kepada pemain industri tetapi juga kepada pelanggan.

 

Katanya, ini bermakna pembeli yang sabar menunggu kenderaan baharu mereka tidak lagi perlu bimbang akan kehilangan insentif jika kenderaan mereka diserahkan pada tahun depan.-DagangNews.com