Proton edar 3,000 pek bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan | DagangNews Skip to main content

Proton edar 3,000 pek bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan

Pengarah Kanan Modal Insan & Pentadbiran Proton, Amran Mohd Tomin (tiga dari kiri) mengedarkan bubur lambuk kepada Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Abd Khalid Othman
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 April - Sempena Ramadan, Proton mengedarkan sebanyak 3,000 pek bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada polis, petugas perubatan dan bomba serta kakitangan Proton di Subang Jaya dan Shah Alam. 

 

Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara Kelab Media Prima dan Kelab Proton, di mana ahli-ahli kelab bersama memasak dan membungkus hidangan di ibu pejabat Proton di Shah Alam sebelum  mengedarkannya di beberapa lokasi.

 

Memasak dan mengedarkan bubur lambuk pada Ramadan merupakan aktiviti tahunan Proton dan pekerjanya, tetapi ia telah ditangguhkan sejak dua tahun lalu akibat COVID-19. 

 

Peluang untuk menghidupkan semula tradisi itu muncul apabila Malaysia melangkah ke peringkat endemik pada 1 April 2022.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, bubur lambuk adalah hidangan yang menandakan Ramadan di Malaysia dan melambangkan semangat perkongsian pada bulan mulia itu. 

 

"Sudah menjadi tradisi tahunan bagi kakitangan Proton untuk memasak dan berkongsi hidangan ini dengan rakan sekerja mereka. 

 

 

proton

 

 

proton

 

 

"Selepas dua tahun kami ketepikan tradisi ini, kami membuat keputusan untuk meluaskan jaringan perkongsian kami dengan mengedarkan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di masyarakat tempatan di kawasan Shah Alam dan Subang Jaya sebagai tanda penghargaan kami kepada sumbangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, tahun ini rakyat Malaysia juga berpeluang untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya selepas dua tahun. 

 

 

proton

 

 

Memandangkan perjalanan akan mengambil masa yang panjang berikutan kesesakan lalu lintas, Proton ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan memastikan kenderaan mereka telah diservis sebelum perjalanan.

 

 

proton

 

 

Roslan berkata, pihaknya menggalakkan semua pemilik kenderaan Proton untuk membuat temu janji dengan pusat servis sebelum memulakan perjalanan cuti hari raya mereka sekiranya kenderaan mereka perlu diservis. 

 

"Baru-baru ini, dengan peningkatan stok untuk 22 jenis alat ganti yang bergerak pantas di pusat 3S/4S kami, Proton bersedia untuk membantu memastikan perjalanan yang selamat ke kampung halaman pelanggan kami,” katanya. - DagangNews.com