NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengeluar kenderaan nasional, Proton melancarkan Galeri Inspirasi (Galley of Inspiration) yang dilengkapi Proton Cafe yang pertama seumpanaya dan koleksi model kereta bersejarah keluaran mereka di Kompleks Centre of Excellence, Subang Jaya.
Galeri yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu dibahagikan kepada beberapa zon dengan ia mempamerkan sejarah keterlibatan Proton dalam industri automotif negara secara menyeluruh dan ia dipersembahkan secara tersusun menggunakan teknologi “virtual reality” (VR) dan “augmented reality” (AR) kepada pengunjung.
“Sebagai pembuat kereta pertama di negara ini, sejarah Proton dan automotif di Malaysia adalah saling berkait rapat. Kami telah banyak mencapai kejayaan serta memperkenalkan pelbagai inovasi, maka perjalanan tersebut dengan bangganya dikongsikan di Galeri Inspirasi tersebut.
"Pada masa sama, produk kami telah berkembang dengan pantas cemerlang jadi kami ingin mengambil kesempatan tersebut untuk menunjukkan kepada pelanggan apa yang boleh mereka jangkakan daripada Proton," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Pemilihan lokasi galeri jenama di Kompleks Centre of Excellence membolehkan pelawat untuk merasai pengalaman pusat sehenti yang turut mempunyai pusat Pameran Kristal yang membolehkan mereka melihat, memandu uji serta membuat tempahan untuk produk terkini dan menghantar kenderaan mereka untuk diselenggara di Centre of Service Excellence.
“Kami telah membuat pelaburan bagi Galeri Inspirasi dan penambahan informasi akan dilakukan seiring dengan perjalanan Proton dengan kemasukan model baharu.
"Kami berharap pelawat akan mendapat inspirasi dari cerita perjalanan kami dan dapat memberikan semangat untuk perjalanan diri mereka dalam apa juga bidang diceburi. Sudah tentu, ia juga berkait dengan slogan kami iaitu “Inspiring Connections” dan membantu dalam menguatkan penceritaan jenama dan penyampaian mesej kepada pelanggan kami," kata Roslan lagi.-Dagangnews.com