Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Pelancaran kenderaan baharu seperti Proton X50, Honda City dan Nissan Almera dijangka dapat meningkatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih tinggi pada suku keempat tahun kewangan 2020.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut dibuat meskipun tempoh moratorium pinjaman yang dijalankan sejak enam bulan lalu bakal berakhir pada 30 September 2020.
"Sebagai contoh, Proton telah menerima lebih daripada 10,000 tempahan untuk model SUV X50 yang belum dilancarkan.
"Proton membuka tempahan untuk model X50 pada 16 September berikutan pelancaran pengeluaran lengkap dari Kilang Tanjung Malim baru-baru ini," jelas CGS-CIMB Research.
TIV pada 20 Ogos lalu turun sebanyak 8.3% kepada 52,800 unit berbanding bulan sebelumnya iaitu 57,552 unit pada 20 Julai.
Penurunan tersebut adalah disebabkan oleh tunggakan pesanan yang lebih rendah berikutan pelepasan stok semasa pengecualian cukai jualan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengaitkan jumlah TIV yang rendah pada Ogos disebabkan oleh kekerapan cuti umum pada bulan berkenaan.
Bagaimanapun, MAA menjangkakan TIV pada September kekal mendatar susulan pengecualian cukai dan promosi diteruskan untuk menarik minat pembeli.
Proton mencatatkan penurunan TIV sebanyak 28.5% pada lapan bulan pertama 2020 kepada 284,632 unit.
Kenderaan penumpang dan kenderaan komersial Proton masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 29% dan 23.5% pada tempoh berkenaan.
Jenama nasional Perodua dan Proton terus menguasai pasaran automotif domestik dengan bahagian pasaran masing-masing pada kadar 42.2% dan 21.7% pada lapan bulan pertama 2020.
Sementara Toyota mengekalkan kedudukan utamanya antara jenama bukan nasional dengan 11% pasaran saham pada lapan bulan pertama 2020, mendahului Honda yang hanya 10.1%. - DagangNews.com