PSM tiada masalah anjur STL walaupun bukan ahli gabungan Astaf, Istaf | DagangNews Skip to main content

PSM tiada masalah anjur STL walaupun bukan ahli gabungan Astaf, Istaf


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com.my

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Walaupun tersingkir daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak mempunyai masalah untuk menganjurkan Liga Sepak Takraw (STL), bulan hadapan.

 

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof berkata, meskipun keahliannya bersama badan induk sepak takraw dunia dan Asia sudah terbatal namun mereka masih lagi pertubuhan sukan yang sah di negara ini dan bebas untuk mengadakan sebarnag pertandingan.
 

Bagaimanapun, PSM tidak boleh menggunakan khidmat pengadil atau pemain yang dilesenkan oleh Astaf atau Istaf.

 

"PSM tiada masalah untuk menganjurkan sebarnag kejohanan dan boleh meneruskan pertandingan STL.

 

"Astaf memang mempunyai kuasa menghalang pengadil atau pemain untuk tidak menyertai kejohanan yang diiktiraf oleh badan induk itu. 

 

"Bagaimanapun, PSM masih boleh menggunakan khidmat pengadil yang tidak dilesenkan oleh Astaf," katanya.

 

psm

 

Sebelum ini, Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pengadil Astaf pada 1 Disember lalu untuk tidak terbabit dalam kejohanan berkenaan.

 

psm

 

Larangan berkenaan berdasarkan Artikel 5 (2), (4) & (10) Perlembagaan Astaf yang turut membabitkan peraturan permainan, proses pengendalian pertandingan, spesifikasi kemudahan dan peralatan sukan, pelesenan kakitangan teknikal termasuk pengadil serta jurulatih yang turut berada dalam Artikel 11 Perlembagaan.

 

Ia berlaku selepas Astaf menyingkirkan PSM pada 20 Mei 2021 yang mana keputusan itu turut melucutkan hak dan keistimewaan badan gabungan Astaf termasuk hak penganjuran kejohanan atau acara sepak takraw baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - DagangNews.com