PTP kukuh kedudukan sebagai pelabuhan paling sibuk di Malaysia selepas catat pengendalian kontena melebihi 1.07 juta TEU sebulan | DagangNews Skip to main content

PTP kukuh kedudukan sebagai pelabuhan paling sibuk di Malaysia selepas catat pengendalian kontena melebihi 1.07 juta TEU sebulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) mencatatkan rekod baharu dengan mengendalikan sejumlah 1,077,747 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam tempoh sebulan mengatasi pengendalian 1,001,819 TEU pada 2022.

 

Ia dicapai tanpa sebarang kesesakan dan sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan terbesar dan paling sibuk di Malaysia.

 

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berbangga dengan pencapaian baharu itu walaupun dalam persekitaran perkapalan global yang mencabar dan pada masa sama menegaskan bahawa pencapaian rekod tanpa kesesakan itu membolehkan PTP menyediakan perkhidmatan berharga kepada rantaian bekalan global. 

 

“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi dan komitmen yang cemerlang daripada semua orang untuk menetapkan keadaan perniagaan yang betul dan mampan, terutamanya dalam menggunakan strategi teknologi dalam operasi harian dan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman mengesahkan, bahawa PTP sentiasa menambah baik hala tuju dan inisiatif strategiknya bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, dengan tumpuan yang kukuh terhadap keselamatan dan meletakkan pelanggan sebagai fokus.

 

ptp

 

“Pencapaian itu menggariskan nilai PTP kepada sektor maritim, kesejahteraan ekonomi dan perdagangan untuk rangkaian global.

 

"Pendekatan strategik PTP untuk terus meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan operasi, dengan penekanan terhadap keselamatan, adalah penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia dalam pasaran global yang semakin kompetitif," katanya.

 

Baru-baru ini, PTP telah dinobatkan penerima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan British Malaysia Chamber of Commerce (BMCC) kelima di bawah kategori amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) Cemerlang.

 

Majlis diadakan pada 21 Mei 2024 di Hotel Sunway Resort, meraikan pencapaian cemerlang syarikat dari United Kingdom dan Malaysia merentasi tujuh kategori. - DagangNews.com