Public Bank, CGC jalin kerjasama sedia pembiayaan RM1 bilion kepada PKS | DagangNews Skip to main content

Public Bank, CGC jalin kerjasama sedia pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - Public Bank Bhd dengan kerjasama strategik bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), menyediakan pembiayaan RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Zamree Ishak berkata, RM280 juta daripada pembiayaan RM1 bilion yang dijamin CGC itu telah diagihkan, dengan tambahan RM150 juta akan dilancarkan.

 

“Dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan pada separuh pertama 2024 yang melepasi unjuran pakar ekonomi, rancangan segera kami adalah untuk bekerjasama dengan Public Bank berkenaan baki RM570 juta.

 

"Ini bagi memenuhi keperluan pembiayaan tambahan PKS yang sejajar dengan jangkaan peningkatan selanjutnya dalam ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sepanjang 52 tahun lalu, CGC telah menyediakan lebih RM96 bilion dalam jaminan serta memanfaatkan lebih 380,000 PKS.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tay Ah Lek berkata, bank itu mengambil kira peranan penting PKS dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan sentiasa menjadi penyokong tegar sektor tersebut.

 

“Sebagai pembiaya PKS terbesar negara dengan bahagian pasaran sebanyak 17.5%, perkongsian kami dengan CGC mengesahkan komitmen kami dalam membangunkan sektor yang mampan.

 

"Dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan ini, kami menyasarkan untuk memperkasakan lagi PKS untuk merebut peluang pertumbuhan dan terus menyumbang kepada ekonomi Malaysia," katanya.

 

Sehingga Jun 2024, bank itu telah menawarkan pembiayaan sebanyak RM69.3 bilion kepada PKS.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, Public Bank telah memberikan pembiayaan sebanyak RM1 bilion untuk menyokong PKS, meliputi tranche terkini skim Jaminan Portfolio (PG), skim CGC sedia ada dan inisiatif CGC yang akan datang.

 

Dalam tranche terbaru skim PG, Public Bank berkata, ia akan menawarkan dua pakej pinjaman berbeza, termasuk pakej PG Property dan pakej PG Clean.

 

Bank itu menjelaskan pakej PG Property akan menyediakan sokongan kewangan untuk membeli aset baharu dan modal kerja, menawarkan margin pembiayaan sehingga 200% daripada nilai hartanah atau harga pembelian, yang mana lebih rendah.

 

“Sementara itu, pakej PG Clean menawarkan modal pusingan tanpa cagaran.

 

Kedua-dua pakej menyediakan jaminan CGC sehingga 70% daripada jumlah kemudahan, kata Public Bank.- DagangNews.com