KUALA LUMPUR 30 Mac - Public Investment Bank Research kekal positif dengan prospek masa hadapan Kossan Rubber Industries Berhad yang dipacu oleh inisiatif automasi dan digitalisasi selain hubungan kukuh bersama pelanggan mereka.
Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati dengan impak terhadap tekanan terhadap margin keuntungan kumpulan dengan konflik Rusia-Ukraine akan menjejaskan rantaian bekalan.
"Cukai Makmur juga dilihat tidak akan memberi kesan kepada Kossan dengan entiti itu dijangka meraih pendapatan tidak melebihi RM100 juta dan atas dasar itu kami menyemak naik semula pendapatan bagi FY22F dengan pertambahan sebanyak 13% selepas mengetepikan cukai itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kekurangan tenaga pekerja akan terus menjadi isu buat syarikat pembuatan dan kenaikan gaji minimum dilihat akan meningkatkan kos terhadap tenaga buruh.
Akibat kekurangan tenaga buruh, firma itu menjangkakan kadar penggunaan akan berada pada kadar 70% namun usaha berterusan Kossan membangunkan bahagian pengeluaran berautomasi akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual.
"Ia akan membantu meningkatkan tahap kecekapan, produktiviti serta kualiti terhadap produk yang dikeluarkan dan kilang baharu mereka di Meru dijangka dilengkapi mesin pembungkusan yang lengkap berautomasi.
"Kami menjangkakan operasi mereka akan menjadi lebih efisyen pada masa akan datang dengan penggunaan mesin berautomasi selain membantu mengurangkan kos operasi," katanya.
Selain itu, firma penyelidikan itu juga menjangkakan kenaikan harga minyak dan gas sehingga 14% pada 2HFY22 dan mereka percaya bahawa Kossan akan berunding bagi mendapatkan harga yang lebih baik memandangkan hubungan perniagaannya yang kukuh dengan pelanggan.
"Semasa musim pandemik, Kossan tidak menaikkan harga jualan purata (ASP) mereka secara drastik bagi membolehkan pelanggan menguruskan keperluan modal kerja dengan lebih baik," katanya.
Selepas mengambil kira semua faktor, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Kossan dengan harga sasaran (TP) RM1.73. - DagangNews.com