Public Investment kekal saranan 'overweight' bagi sektor perladangan dengan jangkaan harga MSM RM4,300 satu tan | DagangNews Skip to main content

Public Investment kekal saranan 'overweight' bagi sektor perladangan dengan jangkaan harga MSM RM4,300 satu tan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan jangkaan harga minyak sawit mentah (MSM) RM4,300 bagi satu tan metrik selepas mengambil kira faktor kekurangan bekalan kesan daripada musim pengeluaran rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bekalan minyak sawit hanya turun sebanyak 2.1% pada Februari 2022 lebih rendah berbanding jangkaan pasaran sebanyak 11.4% bagaimanapun kadar penghasilannya menurun lebih banyak berbanding kadar eksport.

 

Katanya, kadar eksport juga mencatatkan penurunan untuk tiga bulan berturut-turut kerana penurunan permintaan daripada Kesatuan Eropah sebanyak 8.2% dan penurunan 18.3% dari India namun diimbangi dengan peningkataan permintaan sebanyak 17.2% dari China, Pakistan (72.3%) dan Amerika Syarikat (110.3%)

 

"Penghasilan MSM terus terkesan akibat kekurangan tenaga pekerja dan banjir selain penurunan kadar hasil.

 

"Kadar penghasilan dari Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 1% manakala Malaysia Timur sebanyak 17.9%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, bekalan minyak sawit akan terus berkurangan terutamanya selepas Indonesia mengambil keputusan meningkatkan bekalan untuk pasaran domestik kepada 30% berbanding 10% sebelum ini.

 

BACA JUGA: Warga Felda raih pendapatan tinggi susulan lonjakan harga sawit - PM

 

BACA JUGA: DAKN 2030 pacu sektor agrikomoditi sebagai pemangkin ekonomi negara

 

BACA JUGA: Konflik Rusia-Ukraine mungkin kekalkan harga minyak sawit tinggi lebih lama

 

Tindakan itu akan memberi kesan terhadap pasaran eksport minyak sawit bermula 10 Mac dalam usaha meningkatkan bekalan domestik selai mengekang peningkatan harga minyak masak dalam pasaran tempatan.   

 

sawit

 

"Tindakan itu memerlukan pengeksport untuk menjual 30% daripada bekalan eksport kepada pasaran domestik pada harga siling AS$0.65 (RM2.73) sekilogram (kg) bagi MSM dan AS$0.72/kg (RM3.02/kg) untuk minyak sawit Olein.

 

"30% daripada jumlah eksport MSM adalah sebanyak 720,000 tan (mengambil kira eksport pada 2021 sebanyak 2.4 juta tan) yang dilihat mencukupi untuk menampung keperluan pasaran minyak masak domestik," katanya. - DagangNews.com