Konflik Rusia-Ukraine mungkin kekalkan harga minyak sawit tinggi lebih lama | DagangNews Skip to main content

Konflik Rusia-Ukraine mungkin kekalkan harga minyak sawit tinggi lebih lama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research menyemak turun penarafan sektor perladangan kepada 'neutral' daripada 'positif' sebelum ini memandangkan kenaikan harga sasaran yang terhad berikutan prestasi harga saham syarikat perladangan.

 

Bagaimanapun, menurut penganalisisnya, Ong Chee Ting, perang Rusia-Ukraine yang berlarutan sehingga penanaman musim bunga atau sebarang sekatan berkaitan pertanian ke atas Rusia atau oleh Rusia mungkin mengekalkan harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM) pada paras tinggi untuk tempoh lebih lama.

 

"Namun, kami percaya ASP bagi minyak sawit akan memuncak pada suku pertama 2022 memandangkan bekalan minyak sawit dijangka kembali pulih mulai suku kedua ini. 

 

"Pada masa sama, Indonesia juga akan menarik balik sekatan eksport secara berperingkat selepas musim perayaan (Hari Raya Puasa)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu setakat ini menyemak turun penarafan saham Genting Plantations Bhd., Sarawak Oil Palm Bh., TSH Resources Bhd. dan Boustead Plantations Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini.

 

Pilihan utamanya dengan saranan 'beli' bagi sektor itu termasuklah Kuala Lumpur Kepong Bhd, Ta Ann Holdings Bhd. dan Bumitama Agri Ltd. (Singapura).

 

sawit

 

 

Menurut Chee Ting, faktor yang mempengaruhi kenaikan harga niaga hadapan MSM sehingga mencecah rekod RM8,163 satu tan metrik awal bulan ini, akan berlalu tidak lama ini.

 

Faktor tersebut termasuklah, kekangan bekalan minyak sawit, prospek tanaman di Amerika Selatan yang merosot akibat La Nina, kenaikan harga minyak mentah dan eksport minyak bunga matahari yang terganggu akibat konflik Rusia-Ukraine.

 

Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh harga baja yang tinggi dan sekatan mengejut Indonesia terhadap eksport minyak sawit sejak 27 Januari lalu.

 

Mengenai La Nina, jelasnya, ia dijangka berakhir dalam tempoh 3 bulan lagi, meskipun ia membawa hujan yang mencukupi kepada pengeluar di Malaysia dan Indonesia, yang menyediakan persekitaran kondusif untuk pemulihan tanaman kelapa sawit tahun ini.

 

"Namun, baja yang mencukupi masih perlu diberikan pada separuh pertama 2022 untuk menyokong pemulihan pengeluaran yang optimum pada separuh kedua. 

 

"Kami percaya pengeluaran minyak sawit akan kembali meningkat mulai suku kedua dengan musim puncak pada separuh kedua 2022," jelasnya.

 

Pada masa sama, katanya, penyertaan semula pekerja asing ke Malaysia yang disasarkan pada akhir suku kedua, juga bertepatan dengan musim penuaian puncak dalam tempoh berkenaan.

 

"Sekatan eksport Indonesia pula dijangka berkurangan selepas sambutan hari raya, selagi kerajaan berpuas hati dengan bekalan minyak masak domestik yang mencukupi," tambahnya.

 

 

sunflower

 

 

Chee Ting berkata, perang Rusia-Ukraine yang berlarutan masih menjadi kebimbangan utama memandangkan setiap hari terdapat peningkatan risiko sekatan yang lebih besar ke atas Rusia atau oleh Rusia di seluruh dunia.

 

Rusia dan Ukraine menyumbang sebanyak 75% kepada pasaran eksport global minyak bunga matahari pada tahun lalu. 

 

"Peperangan yang berpanjangan mungkin memberi risiko kepada petani Ukraine yang terlepas penanaman  bunga matahari pada akhir musim bunga ini.

 

"Selain itu, Rusia juga merupakan pengeksport utama baja potash dan nitrogen di seluruh dunia, menyumbang lebih daripada 12% daripada perdagangan global. 

 

"Oleh itu, sekiranya peperangan Rusia-Ukraine berakhir dengan cepat, ia akan membantu memulihkan semula keadaan," jelas beliau. - DagangNews.com