Public Investment unjur penurunan pendapatan Magni-Tech sehingga 21% akibat gangguan rantaian bekalan | DagangNews Skip to main content

Public Investment unjur penurunan pendapatan Magni-Tech sehingga 21% akibat gangguan rantaian bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Akibat gangguan rantaian bekalan global dan perintah sekatan pergerakan di China dalam usaha membendung penularan COVID-19, Public Investment Bank mengunjurkan penurunan pendapatan Magni-Tech Industries Berhad antara 5% hingga 21% bagi FY22 hingga FY24.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati dengan prospek jangka pendek kumpulan itu selepas China memperkenalkan sekatan baharu yang bakal menjejaskan perniagaan fizikal mereka.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya perkembangan perniagaan digital kumpulan itu mampu menampung impak penurunan jualan di kedai-kedai fizikal. 

 

"Kami kekal positif dengan prospek jangka panjang Magni dengan menjangkakan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kecergasan dan kesedaran mengenai kesihatan akan menyumbang kepada jualan pakaian sukan.

 

"Kumpulan itu juga dijangka memanfaatkan pembukaan semula Vietnam selepas negara itu sudah menarik balik perintah sekatan pergerakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan berish kumpulan itu menurun sebanyak 45.5% kepada RM26.7% pada 3QFY22 dengan segmen pembungkusan di Malaysia mencatatkan kerugian selain terkesan dengan penangguhan operasi jualan pakaian di Vietnam.

 

Pendapatan mereka bagi suku sama juga menurun sebanyak 15% dari tahun ke tahun kepada RM312.8 juta dengan segmen pakaian menurun 15.8% kepada RM268.7 juta akibat penangguhan operasi di Vietnam manakala segmen pembungkusan menurun 4.3% kepada RM26.1 akibat tempahan jualan lebih rendah dan banjir pada Disember 2021.

 

"Kami mengekalkan saranan 'ouperform' untuk saham Magni dengan sasaran harga (TP) lebih rendah iaitu RM2.45 berbanding RM2.65," katanya. - DagangNews.com