PublicInvest jangka pertumbuhan D&O Green Technologies mendatar bagi 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka pertumbuhan D&O Green Technologies mendatar bagi 4QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - PublicInvest Research menjangkakan pertumbuhan mendatar untuk 4QFY23 bagi D&O Green Technologies Berhad walaupun kumpulan itu meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka.

 

Firma itu berkata, kapasiti pengeluaran itu dibayangi dengan stok yang terlalu banyak dari China dan keadaan itu dijangka kembali stabil menjelang awal 2023.

 

"Margin keuntungan 4QFY22 akan menurun antara 1% hingga 2% kesan daripada penggunaan yang rendah selain impak gaji minimum yang tinggi tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan penjualan 100 juta keping LED pintar pada 2023, pertumbuhan yang mengejutkan hampir 4x berbanding 2022 selepas permintaan dari China dan Korea Selatan mula meningkat.

 

Berdasarkan anggaran, jualan LED pintar berkemungkinan menyumbang sekurang-kurangnya 7% kepada jualan kumpulan pada FY23, peningkatan ketara daripada 1% hingga 2% tahun ini.

 

"Secara amnya, LED pintar memperoleh margin yang lebih tinggi daripada LED konvensional (purata harga jualan adalah 10x lebih tinggi daripada LED konvensional) walaupun ia masih perlu bergantung pada margin secara keseluruhan kerana 80% daripada LED pintar dan produk LED konvensional berkongsi platform pembuatan biasa.

 

"Beberapa jenama kereta terkenal yang telah mula menggunakan aplikasi LED pintar dalam model pilihan mereka termasuk BMW, HongQi, Kia dan Geely," katanya.

 

Firma itu berkata, bagi mengurangkan risiko kebergantungan yang tinggi pada bekalan cipnya untuk produk LED pintar, kumpulan telah memulakan reka bentuk cipnya sendiri dan merancang untuk dikomersialkan pada 2025.

 

"Ia perlu melalui beberapa siri ujian, ujian kebolehpercayaan yang ketat dan fasa reka bentuk dengan pelanggan akhir untuk dua tahun akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM5.16 sesaham," katanya. - DagangNews.com