PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz kesan tekanan inflasi | DagangNews Skip to main content

PublicInvest kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz kesan tekanan inflasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz Corp Bhd selepas mengambil kira kadar faedah semasa yang tinggi selain tekanan inflasi berterusan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan positif terhadap perkembangan berterusan kumpulan itu, terutama penglibatan proaktif dalam pameran perabot untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya.

 

"Usaha ini dijangka terus mengukuhkan prestasi kumpulan pada masa hadapan" katanya dalam satu nota kajian.

 

PublicInvest berkata, usaha kumpulan untuk mengoptimumkan struktur kos melalui pengembangan rangkaian pembekalnya dijangka membantu mengurangkan tekanan kos input, seterusnya mengukuhkan kedudukan kompetitifnya.

 

Terdahulu, untung bersih suku kedua 2024 (2QFY24) Homeritz meningkat sebanyak 65.9% kepada RM9.2 juta disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi di semua wilayah.

 

Selepas membuat penyelarasan untuk barnagan bukan teras, untung bersih teras syarikat mencapai RM7.9 juta, peningkatan 49.2% dari tahun ke tahun. 

 

PublicInvest berkata, keputusan itu melebihi anggaran syarikat dan konsensus masing-masing pada 63% dan 59%.

 

"Percanggahan dalam ramalan kami adalah disebabkan jumlah jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan, didorong oleh pemerolehan pelanggan baharu daripada penglibatan proaktif syarikat dalam pameran perabot di Jerman, Vietnam dan Guangzhou.

 

"Kami mendapati bahawa jualan dari pasaran Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, tetapi pesanan kekal agak kecil. 

 

"Kami menyemak semula ramalan pendapatan kami dengan purata 16% untuk FY24–26 dengan mengambil kira jumlah jualan yang lebih tinggi dengan pemerolehan pelanggan baharu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham. - DagangNews.com