PublicInvest nilai harga wajar MST Golf Group pada 92 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

PublicInvest nilai harga wajar MST Golf Group pada 92 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Public Investment Bank  (PublicInvest) memberi harga wajar pada 92 sen terhadap MST Golf Group Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 3.4 sen dan harga perusahaan 16 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Kumpulan itu dijangka mengumpul RM129.6 juta juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) daripada terbitan 160.0 juta saham baharu.

 

"Selain menggunakan 89.7% daripada hasil untuk pengembangan perniagaan, 2.3% dan 2.5% daripada hasil itu diperuntukkan masing-masing untuk menaik taraf kemudahan teknologi digital dan keperluan modal kerja," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

 

Kumpulan itu merupakan peruncit khusus dan pemborong peralatan golf yang terdiri daripada kayu golf, bola golf dan aksesori serta pakaian golf di Malaysia dan Singapura.

 

Kumpulan itu ialah pengendali pelbagai jenama yang meliputi kira-kira 97 jenama peralatan golf pada 31 Mei 2023. Bagi FY21 dan FY22, 25 jenama teratas menyumbang 87.96% dan 87.48% daripada jumlah pendapatan mereka sebanyak RM206.52 juta dan RM300.88 juta. 

 

Sehingga 31 Mei 2023, operasi runcit kumpulan itu disokong oleh rangkaian 44 kedai runcitnya di Malaysia dan Singapura.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan kumpulan itu dipacu oleh penyediaan kedai runcit golf baharu di Malaysia dan Singapura, selain naik taraf dan baik pulih kedai runcit sedia ada terpilih, pengembangan ke pasaran geografi baharu dan peningkatan kemudahan teknologi digital.

 

"Kekuatan daya saing kumpulan itu termasuk rekod prestasi operasi yang baik selain penyediaan persekitaran runcit peralatan golf sehenti.

 

"Kumpulan itu juga mempunyai perjanjian berterusan untuk menjual beberapa jenama global peralatan golf serta mempunyai kedua-dua model perdagangan operasi runcit dan borong dan penggunaan teknologi," katanya. - DagangNews.com