PublicInvest positif terhadap prospek jangka panjang Optimax disokong usaha peluasan rangkaian pusat penjagaan ambulatori | DagangNews Skip to main content

PublicInvest positif terhadap prospek jangka panjang Optimax disokong usaha peluasan rangkaian pusat penjagaan ambulatori

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) positif terhadap prospek jangka panjang Optimax Holdings Bhd disokong usaha peluasan rangkaian pusat penjagaan ambulatori baharu di seluruh Malaysia. 

 

Katanya, kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mengoptimumkan kos operasi bagi meningkatkan hasil pada masa hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga komited dalam memajukan penggunaan teknologi seperti seperti Presbyond, teknologi yang digunakan menggantikan rawatan lasik bagi merawat presbyopia atau rabun dekat dan ia sekali gus mengukihkan kedudukan kumpulan itu.

 

"Kami positif terhadap usaha pemasarannya melalui pengembangan perkhidmatan penjagaan mata kanak-kanak dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk langkah pencegahan awal dalam kesihatan mata kanak-kanak," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 2QFY24 menyusut 1.4% kepada RM3.8 juta disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi bagi pembesaran ACC baharu.

 

Tidak termasuk item bukan operasi, keuntungan bersih teras Optimax berada pada RM3.8 juta susut 1.1%.

 

Hasil 2QFY24 kumpulan itu meningkat sebanyak 15% kepada RM32 juta, didorong oleh aktiviti promosi yang berterusan dan bilangan pembedahan yang lebih tinggi selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

 

PublicInvest berkata, hasil itu adalah selaras dengan jangkaan pihaknya sebanyak 50% tetapi kurang daripada anggaran ramalan tahun penuh sebanyak 43%.

 

"Selain itu, Kemboja menjana sumbangan hasil sulungnya kepada kumpulan. Walaupun sumbangannya agak kecil, kami optimis mereka akan dapat mengembangkan asas pelanggannya melalui usaha pemasaran yang berterusan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 83 sen sesaham.- DagangNews.com