PublicInvest ‘potong’ unjuran pendapatan Chin Teck akibat kerugian di Indonesia, kos operasi tinggi | DagangNews Skip to main content

PublicInvest ‘potong’ unjuran pendapatan Chin Teck akibat kerugian di Indonesia, kos operasi tinggi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Unjuran pendapatan Chin Teck Plantations Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) dikurangkan sebanyak 13 hingga 34% akibat kerugian tidak dijangka yang ditanggung oleh syarikat perladangan Indonesia dan lonjakan perbelanjaan pentadbiran.

 

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata dengan menghapuskan kerugian nilai saksama ke atas aset biologi, Chin Teck Plantations menghasilkan pendapatan teras separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) sebanyak RM32.2 juta iaitu merosot 29% tahun ke tahun (YoY), masing-masing membentuk 41% dan 44% daripada jangkaan tahun penuh firma dan konsensus.

 

Mengulas berkenaan syarikat perladangan usaha sama kumpulan itu di Indonesia, firma itu berkata pergolakan yang berlaku di kampung sekitar kawasan ladang di Daerah Lampung, Indonesia sejak 2012 telah menjejaskan aktiviti penuaian rutin secara serius.

 

Sehingga kini, jumlah kawasan yang boleh diakses adalah kira-kira 53.6% daripada jumlah kawasan tanaman.

 

“Sementara itu, penuaian kawasan matang yang terletak di Daerah Sumatera Selatan juga tertangguh berikutan pergolakan di ladang jiran. Permulaan penuaian sedang menunggu kelulusan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pendapatan kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) telah menyusut 16% YoY kepada RM46.1 juta, terutamanya diterajui oleh penurunan mendadak dalam harga minyak sawit walaupun mencatatkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih kukuh.

 

Purata harga minyak sawit mentah (MSM) telah menurun daripada RM5,034 setiap tan mentrik (/mt) kepada RM3,965/mt, di mana pada 1HFY23 harga tersebut adalah RM4,006/mt berbanding RM4,645/mt dalam 1HFY22.

 

Firma itu berkata pengeluaran BTS bagi 2QFY23 melonjak sebanyak 31.3% YoY kepada 47,728mt (tan metrik), iaitu 110,351mt pada 1HFY23 berbanding 83,006mt dalam 1HFY22.

 

Sementara itu, keuntungan teras teras 2QFY23 kumpulan merosot daripada RM18 juta kepada RM5 juta, terjejas oleh kenaikan ketara dalam kos pengeluaran MSM akibat lonjakan kos baja dan perbelanjaan pentadbiran serta harga jualan minyak sawit yang lebih lemah.

 

PublicInvest berkata, peningkatan perbelanjaan pentadbiran daripada RM7.2 juta kepada RM11.4 juta disebabkan oleh pengambilalihan anak syarikat, Fauzi Lim Plantation Sdn Bhd.

 

Manakala syarikat bersekutu perladangannya di Indonesia turut menyumbang kepada prestasi kewangan yang lebih lemah disebabkan kerugian RM4 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM7.70 sesaham. -DagangNews.com