'Pukulan' sarung tangan getah, KLCI menjunam | DagangNews Skip to main content

'Pukulan' sarung tangan getah, KLCI menjunam

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kaunter berkaitan sarung tangan getah terus mengheret turun indeks utama FBM KLCI melebihi 2% ketika mengakhiri dagangan petang ini. 

 

Ini menyaksikan bursa tempatan ditutup pada 1,573.5 mata setelah indeks itu merosot 2.2% atau 35.68 mata. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 858 berbanding 304 manakala 369 kaunter tidak berubah. 

 

"Pasaran pada Rabu agak kacau bilau memandangkan kesemua 30 komponen di bawah indeks FBM KLCI merekodkan kerugian," jelas Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim. 

 

Bagaimanapun, katanya, situasi ini sejajar dengan pasaran serantau Asia yang lain di sebalik data aktiviti perkilangan China berkembang melebihi jangkaan pada Mac.  

 

"Tetapi, penyumbang utama KLCI menjunam hari ini disebabkan oleh kaunter sarung tangan getah terutama Supermax, Hartalega dan Top Glove, merekodkan kerugian lebih 4%," katanya kepada DagangNews.com.

 

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengarahkan kakitangannya di semua pintu masuk pelabuhan AS untuk memulakan rampasan sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan Top Glove. 

 

Ini berikutan pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu dipercayai menggunakan buruh paksa untuk menghasilkan sarung tangan pakai buang.

 

Petang ini ketika ditutup, saham Top Glove susut 5.44% kepada RM4.52 sesaham.

 

Saham Supermax pula ditutup pada RM3.81 sesaham setelah susut 3.54% manakala Hartalega pula jatuh 4.59% kepada RM8.93 sesaham. 

 

Di pasaran yang lebih meluas, Reuters melaporkan, saham global goyah pada Rabu manakala dolar AS menghampiri paras tertinggi lima bulan memandangkan hasil perbendaharaan terus meningkat menjelang pengumuman Presiden AS Joe Biden mengenai pelan bernilai berbilion dolar untuk membina semula infrastruktur AS.

 

Bagi pasaran kewangan, petang ini ringgit ditutup pada RM4.1440/1480 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada, RM4.1490/1530. 

 

Menurut Reuters, dolar AS kini berada di landasan untuk merekodkan prestasi terbaik bulanan sejak 2016, berbanding penurunan bulan yang dihadapi kebanyakan mata wang Asia termasuk rupiah dan ringgit.

 

Tabung Kewangan Antarabangsa berkata pertumbuhan ekonomi AS yang utuh akan membantu pemulihan ekonomi global.

 

Tetapi badan dunia itu juga memberi amaran, situasi itu juga mungkin menyebabkan kedudukan kewangan yang ketat dan mencetuskan aliran keluar yang banyak daripada negara ekonomi baharu muncul. - DagangNews.com