PUNB lancar pembiayaan kewangan untuk PKS Bumiputera mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

PUNB lancar pembiayaan kewangan untuk PKS Bumiputera mulai hari ini

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan permohonan inisiatif kewangan Pembiayaan Mudah Bumiputera (BRF) bernilai RM200 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera mulai hari ini. 

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan itu merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Inisiatif berkenaan akan memberi pembiayaan sebanyak RM100,000 hingga RM1 juta untuk syarikat Bumiputera yang terjejas akibat COVID-19. 

 

Noh Omar
Noh Omar

 

Pembiayaan tersebut akan tersedia sehingga dana habis dan dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 200 PKS di seluruh dunia. 

Syarat untuk menerima pembiayaan itu, sesebuah syarikat perlulah mempunyai sekurang-kurangnya 70% pemilikan Bumiputera dan perolehan jualan RM300,000 setiap tahun. 

Penerima akan diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pemberian pembiayaan tersebut. 

Bantuan itu terbuka kepada semua PKS yang terlibat dalam sektor runcit dan pengedaran, pembuatan dan kejuruteraan, automasi sistem, kesihatan, hospitaliti, logistik, perkhidmatan dan industri kreatif. 

Setiap pembayaran balik akan dikenakan faedah sebanyak 3.5% setiap tahun dengan tempoh maksimum sehingga 66 bulan.

Permohonan boleh dibuat menerusi portal rasmi PUNB, www.punb.com.my. - DagangNews.com