Puncak Niaga umum pelantikan Lim Mun Lee sebagai Pengarah Eksekutif mulai 21 Januari 2024 | DagangNews Skip to main content

Puncak Niaga umum pelantikan Lim Mun Lee sebagai Pengarah Eksekutif mulai 21 Januari 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 19 Jan - Lim Mun Lee dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Bahagian Kewangan Puncak Niaga Holdings Berhad mulai 21 Januari 2024, bagi menyelia keseluruhan fungsi kewangan dan akaun Kumpulan syarikat itu. 

 

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Universiti Monash, Australia, Mun Lee menyertai Puncak Niaga pada April 2015 sebagai Pengurus Besar, Jabatan Kewangan & Akaun.

 

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pemangku Pengarah Eksekutif, Bahagian Kewangan Syarikat pada 9 Jun 2022 yang bertanggungjawab untuk menyelia keseluruhan fungsi kewangan dan akaun Kumpulan Puncak Niaga.

 

Mun Lee seterusnya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Kewangan Danum Sinar Sdn Bhd, anak syarikat Puncak Niaga pada 1 September 2023 sebagai sebahagian daripada penyusunan semula dalaman Kumpulan.

 

Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Puncak Niaga dan EXCO Puncak Niaga Construction Sdn Bhd serta memegang jawatan pengarah di beberapa anak syarikat Kumpulan Puncak Niaga.

 

Mun Lee adalah ahli CPA Australia dan Institut Akauntan Malaysia (MIA). Beliau mempunyai pengalaman luas lebih daripada 27 tahun dalam pelbagai bidang meliputi pengauditan, perakaunan, percukaian, kewangan, pengurusan kewangan strategik dan perbankan korporat.

 

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1997 sebagai juruaudit di sebuah firma perakaunan yang terkenal.

 

Beliau telah berkhidmat dengan tekun dan naik ke peringkat pengurusan di beberapa syarikat tersenarai awam dan syarikat multinasional, termasuk 6 tahun di Scomi Oilfield Limited (anak syarikat perkhidmatan medan minyak di bawah Scomi Group Bhd), 3 tahun di TRIplc Berhad dan 2 tahun di Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).- DagangNews.com