IPOH 2 Ogos - Seramai 1,765 penuntut baharu mendaftar di Politeknik Ungku Omar (PUO) sekali gus merekodkan jumlah pelajar Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) tertinggi antara politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
Pendaftaran pelajar baharu bagi Sesi 1 Tahun 2024/2025 ini melebihi sasaran yang ditetapkan PUO.
Daripada jumlah tersebut, 1,629 merupakan pelajar bagi 17 program diploma dan 123 pelajar Program Asasi Teknologi Kejuruteraan.
Baki 13 orang adalah pelajar Program Sijil Kemahiran Pembinaan yang dikhususkan untuk pelajar kelainan upaya.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah memberitahu, pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap persekitaran pembelajaran kondusif dan kualiti TVET yang ditawarkan
Katanya, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan tetapi juga komitmen institusi ini dalam menyokong agenda pendidikan negara.
“Peningkatan jumlah ini juga dibantu melalui usaha mempromosi secara berterusan menerusi pelbagai platform sama ada secara bersemuka, media konvensional atau digital.
“Ia juga seiring dengan kebolehpasaran graduan bidang TVET bagi memenuhi permintaan pelbagai sektor industri,” ujarnya.
Sementara itu, majlis penutup minggu suai kenal pelajar baharu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Norman Zamri di Dewan Jubli Perak PUO.
Beliau turut menekankan kepentingan integrasi dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar baharu dalam memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu.
Para pelajar juga disaran memanfaatkan ruang dan peluang pembelajaran bagi meneroka potensi dan kebolehan diri agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan negara kelak.- DagangNews.com