Purata gaji, upah bulanan pekerja merosot 9% tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Purata gaji, upah bulanan pekerja merosot 9% tahun lalu

Gambar Reuters

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja warganegara merosot 9% pada tahun lalu kepada RM2,933 daripada RM3,224.

 

Ini disebabkan oleh usaha pembendungan penularan pandemik COVID-19 pada tahun 2020, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

 

Katanya, kebanykan negeri pada 2020 mencatatkan penurunan yang didahului oleh Johor mencatatkan (-13%), Terengganu (-12.4%), Kuala Lumpur (-12.3%), Labuan (-11.5%), Sarawak (-11.0%) dan Selangor (-10.6%).

 

Bagaimanapun, purata pendapatan dijangka meningkat tahun ini tetapi bergantung kepada corak pemulihan ekonomi negara kerana ia dijangka tidak sekata dan akan mempengaruhi gaji dan upah.

 

"Jika kita (negara) berjaya dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi digital dan pembangunan teknologi dalam aktiviti ekonomi dalam jangka masa panjang, kita amat yakin purata pendapatan yang diukur dari segi gaji dan upah pasti akan meningkat.

 

"Tetapi ia bergantung bagaimana kita merealisasikannya dalam jangka masa sederhana. Dalam jangka masa pendek, keutamaan yang diberikan adalah kepada pekerja kembali bekerja dalam sektor-sektor perniagaan (yang terjejas)," katanya selepas mengumumkan laporan sosioekonomi negeri tahun 2020 secara maya, seperti dilaporkan Bernama.

 

Bagaimanapun, dari perspektif nilai, purata gaji dan upah bulanan di Putrajaya adalah yang tertinggi pada kadar RM4,497.

 

Antara negeri yang melepasi paras purata gaji dan upah nasional iaitu sebanyak RM2,933 adalah Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan Labuan (RM2,942).

 

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) di peringkat nasional pula turun 0.3 mata peratus kepada 68.4% pada tempoh sama berbanding 68.7%  pada tahun 2019.

 

Sebagai rekod, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 4.5% pada 2020, iaitu kadar tertinggi dicatatkan setelah hampir tiga dekad.

 

Seiring penguncupan ekonomi negara dan aktiviti perdagangan di seluruh dunia, jumlah dagangan Malaysia pada tahun lalu menyusut 3.6% kepada RM1.78 trilion berbanding RM1.84 trilion pada 2019. - DagangNews.com