Purata jualan lebih tinggi lonjakkan untung Q2 MSM kepada RM13 juta | DagangNews Skip to main content

Purata jualan lebih tinggi lonjakkan untung Q2 MSM kepada RM13 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Keuntungan bersih MSM Malaysia Holdings Berhad melonjak kepada RM13.5 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) yang berakhir 30 Jun lalu berbanding kerugian RM21.6 juta yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun kewangan sebelumnya. 

 

Keuntungan itu dipacu oleh margin yang bertambah baik, daripada purata harga jualan yang lebih tinggi serta kos kewangan lebih rendah, menurut MSM dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia. 

 

Bagi suku tahun semasa, kumpulan menyaksikan hasilnya mencanak 23.5% atau RM105.4 juta lebih tinggi kepada RM554.1 juta daripada RM448.7 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahunan, keuntungan bersih kumpulan menyusut daripada RM31.2 juta yang dicatatkan pada 1QFY21. 

 

MSM tidak mengumumkan sebarang agihan dividen bagi suku tahun semasa. 

 

“Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tempoh enam bulan yang berakhir 30 Jun 2021 lebih tinggi ekoran pembalikan peruntukan untuk kos penjualan dan keuntungan daripada penjualan aset tetap dalam tempoh tersebut.

 

“Pada tahun kewangan lalu, kerugian selepas cukai (LAT) dicatatkan, terutamanya disebabkan oleh caj susut nilai bagi aset yang diklasifikasikan daripada Aset Pemegangan Untuk Dijual kepada Hartanah, Kilang dan Kemudahan,” jelas MSM.

 

Dari segi prospek, MSM menjelaskan bahawa kumpulan kekal optimis, tetapi berhati-hati terhadap pelannya untuk kembali mencatatkan untung dan keupayaan bagi mencapai pertumbuhan mampan ketika trend harga gula mentah global kian meningkat. 

 

Tambah MSM, kumpulan juga sedang bergerak ke arah menambah baik kecekapannya dan kekal positif terhadap sasaran prestasi bagi sepanjang tahun kewangan ini. 

 

“Dalam pada itu, kumpulan juga menumpukan ke arah kadar hasil lebih tinggi dan penggunaan kapasiti yang akan menghasilkan kos penapisan dan pengeluaran lebih rendah. 

 

“Di peringkat domestik, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berjalan dan kadar vaksinasi memberikan suntikan kukuh untuk pemulihan ekonomi yang lebih baik dan aktiviti sosioekonomi, seterusnya mendorong kepada lebih banyak penggunaan produk termasuk gula,” ujar kumpulan lanjut. - DagangNews.com