Pusat dialisis NKF-Siva Santa bernilai RM1.2 juta dibina di Rawang | DagangNews Skip to main content

Pusat dialisis NKF-Siva Santa bernilai RM1.2 juta dibina di Rawang

Gambaran bangunan NKF–Pusat Dialisis Siva Santa yang sedang dibina di Sungai Bakau, Rawang.

KUALA LUMPUR 8 Jun – Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF Malaysia) bekerjasama dengan dua pertubuhan bukan kerajaan, The Temple of Fine Arts Malaysia dan Yayasan Shivanjali untuk menubuhkan pusat dialisis baharu di Sungai Bakau, Rawang bernilai RM1.2 juta.

 

Pusat tersebut yang akan dikenali sebagai Pusat Dialisis NKF–Siva Santa (NKF – Pusat Dialisis Siva Santa) bakal memiliki 10 mesin dialisis bagi menampung tiga syif sehari, enam hari seminggu - untuk kira-kira 60 pesakit di pusat itu.


 
Satu memorandum persefahaman (MOU) telah ditandatangani baru-baru ini antara ketiga-tiga pertubuhan bukan bermatlamat keuntungan itu.


 
Ketua Pegawai Eksekutif NKF Malaysia, Khor Xin Yun berkata, ia adalah kemudahan dialisis pertama NKF di Rawang dan NKF amat berterima kasih dapat menjadi sebahagian daripada usaha sama ini dengan The Temple of Fine Arts Malaysia dan Yayasan Shivanjali.

 

"Mereka adalah rakan kongsi yang sempurna untuk kerjasama ini kerana misi mereka adalah untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik, yang selaras dengan usaha NKF untuk meningkatkan taraf penjagaan yang diberikan kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan mereka yang menghidap pelbagai penyakit berkaitan buah pinggang,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Khor berkata, pusat dialisis baharu itu akan beroperasi dari 7 pagi hingga 9 malam pada hari Isnin hingga Sabtu dan akan menyediakan penjagaan dialisis standard kepada pesakit - memastikan hasil yang terbaik dengan penjadualan yang mudah dan kakitangan yang berdedikasi.

 

“Pada masa ini, tiada hospital kerajaan di Rawang tetapi hanya sebuah Klinik Kesihatan Rawang dan kira-kira 50 pesakit perlu melakukan perjalanan dari Rawang ke Hospital Selayang, atau Pusat Dialisis NKF lain atau pusat dialisis swasta untuk rawatan mereka setiap hari silih berganti.

 

"Walau bagaimanapun, Pusat Dialisis NKF - Rotary Damansara (NKF – Damansara Rotary Dialysis Centre) di Selayang berjalan hampir pada kapasiti penuh dan oleh itu, kami berharap dengan kerjasama ini, pesakit dialisis yang tinggal lebih dekat dengan Rawang dapat dipindahkan ke pusat dialisis baharu ini,” katanya.

 

 

nfk
Khor Xin Yun (kiri) bersama Dr M. Paranjothy, Presiden The Temple of Fine Arts Malaysia dan S.Palanivel, Pengerusi Lembaga Yayasan Shivanjali pada majlis menandatangani MOU untuk penubuhan pusat dialisis baharu di Rawang, NKF–Pusat Dialisis Siva Santa.

 

 

Pusat dialisis pertama NKF telah ditubuhkan pada tahun 1993 dan ditempatkan di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Selama bertahun-tahun, NKF telah berkembang dengan pesat dengan sokongan banyak pihak – sehingga hari ini, 1,700 pesakit dialisis menerima rawatan dialisis bersubsidi di 28 pusat dialisis NKF di seluruh negara.

 

NKF telah meluaskan peranannya daripada sekadar penyedia rawatan dialisis, kepada menjadi pusat sumber negara sehenti untuk semua perkara berkaitan buah pinggang.

 

Dengan pusat dialisis terbaharunya yang diharapkan akan dibuka pada penghujung tahun 2023, NKF Malaysia boleh terus membuat perubahan dalam kehidupan pesakit buah pinggang yang kurang bernasib baik dengan menyediakan akses kepada rawatan dialisis untuk pesakit di perbandaran sekitar antara Rawang, Shah Alam, Kuala Selangor , Serendah, Sungai Buloh dan Selayang. - DagangNews.com