Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan beri manfaat pada penerima zakat  | DagangNews Skip to main content

Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan beri manfaat pada penerima zakat 

Seramai 3,834 penerima bantuan dialisis telah mendapat manfaat menerusi sumbangan wakaf MAIPk sejak lima tahun lalu.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 24 Ogos  - Penubuhan Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan di Manjung dapat menampung keperluan rawatan sejajar dengan pertambahan bilangan pesakit yang dibiayai menerusi sumber zakat.

 

Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan ini dikendalikan oleh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

 

Ia dibina pada Oktober 2018 dan mula beroperasi pada Disember lalu dengan kemudahan sebanyak 12 buah mesin dialisis untuk mampu menampung sehingga 36 pesakit sehari.

 

Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk dalam kenyataan memaklumkan, kos keseluruhan projek pembinaan pusat hemodialisis wakaf ini mencecah RM3.3 juta. 

 

Menurut kenyataan itu, pengurus projek ialah Kumpulan Perubatan Ar Ridzuan (KPAR) yang merupakan anak syarikat Perbadananan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak iaitu syarikat milik penuh MAIPk.


 

dialisis
Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan di Manjung, Perak

 


"KPAR disokong oleh sepasukan pegawai perubatan, doktor pakar dan kumpulan tenaga yang terlatih serta berkemahiran memberikan perkhidmatan rawatan hemodialisis.

 

"MAIPk memperuntukkan lebih RM16 juta daripada dana zakat setiap tahun menampung perbelanjaan rawatan dialisis kepada lebih 600 orang penerima bantuan," ujar kenyataan itu.

 

Pusat Hemodialisis Waqaf Perak Ar-Ridzuan telah dirasmikan pada minggu lalu oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini. 

 

Dianggarkan kos rawatan bagi seorang pesakit sebanyak RM34 ribu setahun dan kos rawatan biasanya akan meningkat setiap tahun.


 

dialisis
Tan Sri Mohd. Annuar Zaini (empat dari kanan) bersama para petugas selepas merasmikan Pusat Hemodialisis WPAR di Manjung.

 


Pembiayaan hemodialisis MAIPk kepada pesakit-pesakit merangkumi kos rawatan cucian darah sebanyak 14 kali sebulan pada kadar RM170 setiap cucian dan suntikan sebanyak 8 kali sebulan pada kadar RM60.00 setiap suntikan.

 

Keseluruhan kos sebanyak RM2,860 sebulan bersamaan RM34,320 setahun bagi seorang pesakit.

 

Sepanjang lima tahun lalu sejak 2015, seramai 3,834 penerima bantuan dialisis telah mendapat manfaat sumbangan wakaf menerusi MAIPk.

 

MAIPk mengharapkan lebih ramai berwakaf dengan MAIPk sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat yang memerlukan. - DagangNews.com