Pusat Sokongan Sosial Setempat jadi tempat luah masalah di Jelajah AKM Selangor | DagangNews Skip to main content

Pusat Sokongan Sosial Setempat jadi tempat luah masalah di Jelajah AKM Selangor

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

SHAH ALAM 19 Ogos - Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang disediakan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Shah Alam adalah medium terbaik kepada orang ramai untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi dalam kehidupan mereka.

 

Kaunselor Yayasan Kebajikan Negara, Adam Faris Mohd. Zain berkata, PSSS merupakan kemudahan kaunseling bergerak yang disediakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

 

Katanya, menerusi inisiatif itu, pihaknya akan bergerak bertemu masyarakat untuk mendengar sebarang permasalahan, keluhan dan luahan hati orang ramai berkaitan apa sahaja termasuk isu peribadi sehingga kes jenayah.

 

Beliau berkata, mungkin ada sesetengah pihak malu untuk meluahkan masalah mereka kepada pihak berwajib atas sebab-sebab tertentu dan mereka boleh datang ke PSSS untuk melepaskan segala masalah mereka untuk diselesaikan menerusi saluran yang betul.

 

"Kami sedia mendengar apa sahaja masalah berkaitan peribadi, rumah tangga, gangguan di tempat kerja, emosi, gangguan seksual dan sebagainya.

 

"Kalau ada masalah kesihatan mental juga mereka boleh datang untuk penilaian kerana ada sesetengah pihak malu untuk mendapatkan rawatan di hospital dan kami akan cuba membantu sebaik mungkin.

 

psss
Adam Faris Mohd. Zain

 

"Bagi masalah lain, kami akan selesaikan menggunakan cara yang betul kalau berkaitan jenayah akan diselesaikan dengan menggunakan saluran berkaitan jenayah seadainya melibatkan emosi, ada cara akan digunakan untuk membantu mereka ini," katanya kepada DagangNews.com, hari ini.

 

Adam Faris berkata, buat masa sekarang PSSS hanya tertumpu di Kuala Lumpur tetapi menerusi program seperti Jelajah AKM itu, mereka akan menjelajah ke negeri-negeri lain untuk mewar-warkan perkhidmatan mereka.

 

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berdepan beberapa kekangan seperti kekurangan kaunselor tetapi buat masa sekarang terdapat kaunselor luar berkhidmat secara sukarela bersama mereka.


 

AKM

 


"Inisiatif ini ditubuhkan kira-kira setahun lalu dan kami memiliki kekangan dari sehi pengangkutan dan tenaga kerja tetapi kami akan berusaha memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya. 

 

Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah boleh menyalurkan masalah mereka kepada PSSS menerusi talian 019-2615999 atau talian kasih di 15999. - DagangNews.com