KUALA LUMPUR 5 Mac – Portal Redi2Infaq.com telah dilancarkan bersama Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membolehkan masyarakat menyumbang kepada program Wakaf melalui portal tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif RediPay Sdn. Bhd., Adam Dahlan berkata, pihaknya berbesar hati dilantik sebagai Al-Qayyim dan sangat teruja kerana dapat memainkan peranan dalam melestarikan program wakaf.
Menurutnya, RediPay ialah syarikat patuh Syariah yang menyediakan perkhidmatan kemudahan pintu masuk pembayaran secara dalam talian.
‘’Tambahan pula, terdapat beberapa sistem perkhidmatan yang disediakan oleh RediPay Sdn. Bhd., antaranya ialah Redi2Infaq.com, Redi2Stay.com, RediCar, RediGold, dan banyak lagi sekali lagi,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Pelancaran portal tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, dan disaksikan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP, Zainuddin Mohd Salleh dan juga tetamu kehormat.
Pada 25 Januari 2022, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 dan dirasmikan oleh Datuk Idris Ahmad sebagai tahun mempromosi dan memelihara kutipan Wakaf.
Mereka melakukannya melalui 9 sektor iaitu sektor perumahan, pendidikan ilmu, sosial, kecemasan, ekonomi, kesihatan, sains dan teknologi, latihan dan budaya, menggunakan pendekatan teknologi elektronik dan semasa untuk membolehkan kutipan Wakaf tunai dengan rakan strategik Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd.
Baru-baru ini, RediPay dan Redi2Infaq.com telah dilantik sebagai penyedia gerbang pendigitalan daripada Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd.
Dengan pelantikan ini, secara tidak langsung kerjasama antara Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. dengan RediPay telah terjalin.
Atas dasar pelantikan ini, RediPay Sdn. Bhd melalui Redi2Infaq.com akan memfokuskan kepada sistem wakaf selain sistem infaq bersama Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd.
Oleh itu, Redi2Infaq.com akan menjadi tulang belakang utama bagi Redipay Sdn. Bhd. menjadi Al-Qayyim (Agen Kutipan Wakaf Tunai). – DagangNews.com