Queensbay Mall, Plaza Gurney terus jadi pemacu utama pendapatan CapitaLand, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Queensbay Mall, Plaza Gurney terus jadi pemacu utama pendapatan CapitaLand, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Queensbay Mall dan Plaza Gurney di Pulau Pinang akan terus menjadi pemacu utama pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT), mengimbangi prestasi lemah daripada aset runcitnya di Lembah Klang. 

 

Kenanga Research berkata, aset runcit di Pulau Pinang itu akan didorong kehadiran pelanggan terutama daripada golongan berpendapatan sederhana dan mewah.

 

Katanya, perkara sama tidak mungkin berlaku di Lembah Klang kerana perlu bersaing dengan pusat beli-belah yang lebih baharu dan mewah. 

 

"Pada masa sama, kumpulan itu dapat meningkatkan sewa untuk pusat beli-belahnya di Pulau Pinang setinggi 10% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Bagaimanapun, kuantum semakan sewa mungkin berkurangan memandangkan persaingan daripada dua pusat beli-belah baharu di Pulau Pinang, iaitu Sunshine dan Waterfront, yang dijadualkan beroperasi pada 2025.

 

"Selain itu, kami terus berhati-hati terhadap perbelanjaan pengguna terutamanya daripada kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana disebabkan oleh peningkatan inflasi dan rasionalisasi subsidi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM65.5 juta bagi 2QFY24

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras 1HFY24 CLMT memenuhi jangkaan masing-masing pada 55% dan 53% daripada ramalan tahun penuh dan anggaran konsensus tahun penuh.

 

Katanya, hasil 1HFY24 meningkat 23% disebabkan pengiktirafan pendapatan penuh Queensbay Mall dalam tempoh tersebut ditambah dengan semakan sewa yang positif dan kadar penghunian keseluruhan yang lebih tinggi sebanyak 93.1% (1HFY23: 88%).

 

"Keuntungan bersih terasnya meningkat sebanyak 35% apabila perbelanjaan operasinya meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 10%," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham. - DagangNews.com