Rakyat boleh pilih minyak masak bersubsidi, lebih murah - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Rakyat boleh pilih minyak masak bersubsidi, lebih murah - KPDNHEP

Anggota Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan bekalan minyak masak di beberapa premis perniagaan di seluruh negara, baru-baru ini.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Golongan kurang berkemampuan mempunyai pilihan pembelian minyak masak bersubsidi dengan tawaran harga yang lebih murah.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, subsidi diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket.

 

Menurut beliau, harga tersebut ditawarkan meskipun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia berlaku peningkatan.

 

"Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik (tm) sebulan (atau 720,000 tm setahun) bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan (720 juta polibeg setahun) untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia semua peringkat di seluruh negara.

 

"Kuantiti tersebut berdasarkan kadar penggunaan 1.8kg seorang setiap bulan (22.0kg seorang setahun).

 

"Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.


.

 

Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) adalah program subsidi minyak masak yang dijalakan oleh kerajaan melalui KPDNHEP dan Kementerian Kewangan (MoF) melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta pada 2021, berbanding RM528 juta tahun lalu.

 

Program subsidi tersebut bertujuan untuk meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup dan terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.

 

.

 

Sehubungan itu, rakyat boleh membuat pilihan sama ada mahu membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.

 

Tambah beliau, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.

 

"Pihak Penguat Kuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak. 

 

"Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.

 

"KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah," jelas beliau. - DagangNews.com