Rakyat Malaysia disaran melancong di dalam negeri, bantu pulihkan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia disaran melancong di dalam negeri, bantu pulihkan ekonomi

Tidak perlu melancong ke Maldives. Keindahan serupa ada di Pulau Mabul, Sabah.
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 25 Feb - Sokongan berterusan daripada rakyat tempatan dengan melancong ke destinasi di dalam negara amat diperlukan dalam usaha memperkukuhkan ekonomi Malaysia.

 

Ketua Program Pelancongan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, dengan kadar pelancong domestik yang tinggi, ia pasti dapat merancakkan kitaran ekonomi.

 

Katanya, ia juga seterusnya dilihat akan mampu membantu memulihkan pendapatan negeri untuk pembangunan berterusan.

 

"Bayangkan industri pelancongan hampir 'berhibernasi' di Sabah. Ia jelas menjejaskan pergerakan dan perkembangan ekonomi secara menyeluruh.

 

"Perkara pertama yang perlu dilakukan di negeri ini adalah memperkukuhkan pelancongan dengan memberi tumpuan kepada keperluan domestik," katanya ketika dihubungi DagangNews di sini hari ini.

 

Bagaimanapun, Dr Awangku Hassanal Bahar berkata, dalam keadaan era pandemik yang berpanjangan ini, semua pihak juga perlu bersedia dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan ia dapat terus dijalankan.

 

Oleh itu katanya, di pihak kerajaan, dorongan dalam prosedur digital yang lebih kukuh perlu disediakan untuk pelancong yang masuk ke negeri ini.


 

Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar
                Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar

 


"Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan di setiap kemudahan pelancongan perlu diperhebatkan sebagai contoh pengisytiharan kesihatan digital seperti butang lif sensor di pusat beli-belah, lapangan terbang dan hotel.

 

"Selain itu, antara yang perlu diperkemaskan lagi adalah proses daftar masuk automatik beramai-ramai dan pemeriksaan suhu seperti SmartTag di setiap pintu masuk,"katanya.

 

Menurutnya, masalah penularan COVID-19 masih menjadi isu kritikal dan cabaran ekonomi dunia apabila ia merencatkan segala usaha pemulihan ekonomi.

 

Katanya, salah satu sektor paling terjejas adalah industri pelancongan yang jelas sebelum ini menjadi antara penjana ekonomi terbesar di Sabah.

 

“Antara contoh paling jelas adalah penutupan Four Points Sheraton di Sandakan yang mengakibatkan kehilangan pendapatan dalam aspek cukai kepada kerajaan.


 

sheraton sandakan
Hotel Four Points Sheraton di Sandakan ditutup kesan ketiadaan pengunjung semasa pandemik.

 

 

“Penutupan salah satu imej pelancongan terkenal di daerah Sandakan itu juga menyebabkan kehilangan pekerjaan, peluang perniagaan dan pendapatan berganda kepada ekonomi negeri ini,” katanya.

 

Sementara itu, Awangku Hassanal Bahar berkata, kerajaan juga boleh mempelbagaikan dan menaiktaraf produk pelancongan untuk perjalanan domestik untuk menarik selain mengekalkan minat pelancong tempatan.

 

Katanya, ia termasuk dalam memberikan suasana luar negara di sini seperti Hidden Hill Kundasang untuk pengalaman di negara Jepun dan pulau di Semporna untuk pengalaman seakan-akan Maldives. - DagangNews.com