Ramai mohon pinjaman bank beli kereta, rumah pada April - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Ramai mohon pinjaman bank beli kereta, rumah pada April - Kenanga

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Statistik institusi perbankan yang dikeluarkan Kenanga Research membayangkan ramai rakyat di negara ini berhasrat untuk membuat pinjaman bank bagi membiayai pembelian kereta dan hartanah kediaman pada bulan April 2021. 

 

Ini terbukti apabila permohonan pinjaman bank sebahagian besarnya bertujuan bagi pembiayaan kenderaan dan hartanah kediaman di mana masing-masing melonjak +1,496% dan +451% berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut penganalisis Kenanga, Clement Chua. 

 

“Hartanah bukan kediaman juga meningkat dengan ketara iaitu 398%. Permohonan pinjaman perniagaan menyaksikan penurunan susulan aktiviti ekonomi keseluruhan yang lebih perlahan. 

 

“Secara kebetulan, kelulusan pinjaman juga meningkat 433% tahun ke tahun (y-o-y), tetapi menyusut 9% bulan ke bulan (m-o-m) dengan isi rumah menjadi benefisiari utama,” jelas beliau dalam satu nota kajian hari ini.

 

Pada April 2021, sistem pinjaman bank terus berkembang pada kadar 3.9% y-o-y, terutamanya dipacu oleh pinjaman isi rumah dan pinjaman perniagaan, namun ia mula berkurangan. 

 

Dari segi perbandingan m-o-m, pertumbuhan keseluruhannya lembap susulan kadar pinjaman yang mendatar dari isi rumah, namun diimbangi oleh penyusutan pinjaman perniagaan. 

 

“Dalam kalangan bank di bawah tinjauan kami, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman pada kadar 4% hingga 5% bagi tahun 2021 dipacu oleh peningkatan lebih tinggi dalam tempoh separuh kedua 2021 (2H21). 

 

“Kami berpendapat bahawa ketika usaha vaksinasi dijalankan, sekatan pergerakan yang lebih dilonggarkan dan mampan membolehkan aktiviti ekonomi kembali normal dan tidak terjejas untuk mencatatkan pemulihan,” tambah Chua lagi.

 

Sementara itu, jumlah rosot nilai pada tempoh sama meningkat 3% y-o-y, disebabkan oleh kegagalan dalam pinjaman perniagaan yang melonjak 7%, namun dikurangkan oleh rosot nilai pinjaman isi rumah yang lebih rendah. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan di dalam negara. 

 

Kata Chua, pelaksanaan semula ‘lockdown’ sepenuhnya bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat.

 

Beliau menjangkakan hanya bulan Mei dan Jun 2021 yang mungkin mencatatkan prestasi lemah terutamanya pada bulan ini di mana ‘lockdown’ sedang dikuatkuasakan. 

 

Chua tidak menolak kemungkinan kerajaan akan melanjutkan penguatkuasaan itu bagi tempoh dua minggu lagi berdasarkan trend sebelum ini yang seterusnya menjejaskan permintaan bagi pinjaman bank. 

 

“Mengambil kira skala ekonomi lebih besar dan jenama ekuiti yang lebih kukuh kepada pengguna, kami menjangkakan bank-bank besar akan menjadi antara benefisiari pertama kepada pemulihan ekonomi,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com