Rancangan pengembangan operasi bantu Coraza raih lebih banyak pelaburan | DagangNews Skip to main content

Rancangan pengembangan operasi bantu Coraza raih lebih banyak pelaburan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Rancangan pengembangan operasi Coraza Integrated Technology Berhad diyakini boleh membantu kumpulan meraih lebih banyak pelaburan daripada syarikat semikonduktor multinasional di utara Malaysia.

 

TA Research berkata, rancangan itu akan menjadi pemangkin kepada kumpulan terutama ketika berlaku ketegangan dagangan antara China dan Amerika syarikat.

 

Katanya, kumpulan itu sedang melaksanakan rancangan pembesaran berskala besar melibatkan pembinaan kilang baharu bersebelahan kilang sedia ada di Nibong Tebal dengan kawasan binaan seluas 91,110 kaki persegi dan meningkatkan keluasan lantai sebanyak sekali ganda.

 

Berdasarkan jadual, pembinaan itu akan disiapkan mengikut tiga fasa dalam tempoh dua tahun bermula Januari 2022 hingga Disember 2023.

 

Bagaimanapun, kelewatan dijangka dengan perunding masih menjalankan ujian tanah untuk menentukan sistem cerucuk yang sesuai untuk digunakan.

 

"Kumpulan itu akan memenuhi kontraknya yang semakin meningkat melalui tapak yang disewa termasuk tapak seluas 20,000 kaki persegi dan tapak seluas 57,000 kaki persegi yang akan datang.

 

"Kami mengekalkan unjuran jualan dan keuntungan bersih teras untuk berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 16.5% dan 18.8% kepada RM167.8 juta dan RM21.5 juta pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun berdepan tekanan mikroekonomi, pengurusan menjankakan kumpulan itu tidak akan menerima sebarnag pembatalan kontrak dan nilai kontrak semasa kekal pada nisbah 1.0x bagi hasil FY21.

 

Katanya, daya tahan pelanggan utamanya disokong industri semikonduktor, instrumentasi dan sains hayat serta peranti perubatan yang berkembang pesat.

 

"Mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan utama untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan akan memberi tumpuan kepada industri lain termasuk aeroangkasa.

 

"Pada masa yang sama, ia juga membantu mengurangkan risiko penumpuan kumpulan kepada industri semikonduktor," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga saranan (TP) 98 sen sesaham. - DagangNews.com