RANDAU INDUSTRI : Kerjasama semua pihak jamin masa depan industri pelancongan | DagangNews Skip to main content

RANDAU INDUSTRI : Kerjasama semua pihak jamin masa depan industri pelancongan

Oleh Damien Pfirsch, Naib Presiden, Kerjasama Strategik dan Program, Agoda

 

agoda
Damien Pfirsch

INDUSTRI pelancongan adalah sebuah industri pendorong pembangunan global yang menyumbang sebanyak 10% daripada ekonomi dunia sudah pastinya terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19.

Wabak ini telah mencetuskan kesan domino kepada ekosistem pelancongan; bukan sahaja menjejaskan syarikat penerbangan atau rangkaian hotel utama, malahan 80% daripada sektor ini yang terdiri daripada pengusaha penginapan bersaiz kecil dan juga perkhidmatan sampingan yang membabitkan pelancongan, termasuk makanan dan minuman, khidmat pembersihan, pemandu pelancong tempatan dan pengangkutan.

Mengikut unjuran terbaru World Travel and Tourism Council, dianggarkan sehingga 75 juta orang akan mengalami kehilangan pekerjaan, justeru membangkitkan persoalan: Adakah industi ini akan pulih semula?

Jawapannya adalah ya, tetapi ia memerlukan kerjasama yang mantap daripada semua pihak.

  1. Sokongan kerajaan adalah penting

Satu dalam 10 warga kerja di Asia Pasifik, Amerika dan Eropah adalah daripada industri pelancongan dan ia meningkat kepada 13.3% daripada jumlah pekerjaan di Asia Tenggara. Kerajaan boleh dan sedang memainkan peranan yang penting bagi menerajui usaha pemulihan ekonomi.

Beberapa kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan untuk mengurangkan impak wabak COVID-19 di negara mereka. Pembiayaan ini terbukti penting bagi industri pelancongan untuk mengekalkan perniagaan dalam jangka masa pendek, tetapi lebih daripada itu, kerjasama dengan pengusaha utama industri adalah penting untuk mendorong pemulihan yang berkekalan di dalam sektor ini. Malahan, industri ini tidak  mengambil sikap `tunggu dan lihat' tetapi telah memulakan proses perbualan ini.

Sebagai contoh, kerajaan Malaysia telah mula berganding tenaga dengan pengusaha utama untuk menggaris dan mempromosi piawaian keselamatan dan kesihatan yang baharu dan telus untuk perniagaan yang melibatkan sektor pelancongan, di mana ia penting untuk mengembalikan keyakinan orang ramai untuk melancong semula.

Kementerian Pelancongan serta organisasi pemasaran destinasi (DMO) boleh menjadikan ejen pelancongan dalam talian (OTA) sebagai rakan kongsi untuk membangkitkan keinginan untuk bercuti dan menarik lebih ramai pelancong ke destinasi pasaran mereka. Cara yang berkelestarian ini juga dapat membantu komuniti-komuniti di luar destinasi utama yang terjejas akibat COVID-19.

Platform pelancongan digital yang mempunyai sebaran luas dan peralatan pemasaran yang sedia ada boleh bertindak sebagai penghubung untuk membantu DMO mencapai para pelancong domestik dan antarabangsa, manakala DMO boleh mendorong perancangan percutian dengan memberi insentif kepada pelancong, manakala pengusaha penginapan boleh menawarkan prosedur pembatalan tempahan yang fleksibel.

  1. Peranan pengusaha industri

Pengusaha pelancongan yang tangkas perlu mengambil peluang untuk mempertingkatkan produk tawaran mereka dan membina kemampuan baharu untuk menampung keperluan apabila jumlah pelancong meningkat semula.

Panduan baharu yang dikeluarkan oleh United Nations World Tourism Organization (UNWTO) untuk membantu pembukaan semula sektor pelancongan global dengan lancar dan selamat, menekankan kepentingan inovasi dan teknologi dalam membina daya ketahanan industri ini.

Pengusaha penginapan, syarikat penerbangan serta agensi perkhidmatan pelancongan harus menyelaras perkhidmatan mereka untuk memenuhi keperluan para pelancong yang telah banyak berubah selepas dilanda pandemik.

Dalam masa ketiadaan aktiviti pelancongan ini, pihak-pihak yang terbabit perlu berinovasi bagi menjangka keperluan pelancong yang sentiasa berubah serta mengenal pasti penyelesaian dalam aspek keutamaan keselamatan dan fleksibiliti untuk membina semula keyakinan para pelancong.

Menurut tinjauan Agoda.com, pelancong-pelancong menaruh harapan yang lebih tinggi dalam khidmat yang diterima semasa percutian mereka dalam tahun 2020-an dengan adanya kemajuan dalam bidang teknologi yang menjadikan proses tempahan dan perjalanan lebih efisien dan mudah.

Selain daripada menambah baik pilihan pembayaran dan proses tempahan, satu dalam dua responden dari Asia Tenggara menjangkakan proses pendaftaran masuk melalui aplikasi telefon bimbit akan menjadi kebiasaan di hotel-hotel dalam dekad ini. Proses tanpa kontak akan meningkat atas permintaan ramai untuk perjalanan pasca-COVID.

Pengusaha hotel dan syarikat penerbangan, sebagai contoh, akan mengkaji semula dan mengemas kini polisi dan prosedur pembatalan tempahan untuk memenuhi permintaan baharu daripada para pengguna.

Ia bermungkinan besar akan melibatkan pilihan tempahan yang lebih fleksibel, penggunaan analisis data untuk meninjau tahap penghunian dan strategi penentuan harga mengikut permintaan, dan juga menggunakan saluran pengedaran yang berbeza untuk mencapai para pelancong bagi memberikan tawaran penginapan dan penerbangan.

Para pengusaha lain, seperti rangkaian kad kredit dan bank juga memainkan peranan penting untuk menyokong dan mempromosi kempen-kempen perjalanan yang lebih selamat.

Usaha yang paling utama di dalam ekosistem pelancongan adalah semua pihak harus bertindak seiringan, bukan sahaja untuk menyelaraskan polisi dan strategi baharu, tetapi juga menjalankan koordinasi bagi menentukan tema dan tempoh kempen promosi pelancongan.

Ini akan memudahkan dan menarik lebih ramai pelancong untuk merancang dan menempah percutian mereka. Ejen pelancongan dalam talian (OTA) mempunyai kedudukan dan kelengkapan yang baik untuk saling menghubungkan pihak terbabit, dari DMO, hotel, syarikat penerbangan, ejen aktiviti pelancongan, dan juga rakan industri sokongan, kepada kelompok pengguna yang lebih luas.

  1. Pelancong turut sama memainkan peranan

Akhirnya, para pelancong memainkan peranan yang penting untuk menyemarakkan sektor ini. Mereka akan berkeinginan untuk melancong semula, bagi menjelajahi keindahan dunia di tempat-tempat berhampiran kediaman mereka dan juga destinasi yang lebih jauh. Namun begitu, kami menjangka kadar pemulihan industri pelancongan adalah berbeza di setiap negara. Proses pemulihan akan menjadi lebih perlahan dan mencabar tanpa kerjasama daripada semua pihak untuk mematuhi prosedur operasi standard norma baharu apabila kawalan pergerakan dihapuskan kelak.

Tinjauan Agoda Untuk Dekad Berikut mendapati lebih daripada 25% responden mempunyai keinginan untuk memilih percutian yang lebih mesra-alam di dekad baharu ini.

santubong
Pelancong menggunakan bot meninjau Gunung Santubong di Kuching, Sarawak. - Sarawak Tourism Board


Pandemik ini telah menyedarkan kita akan kepentingan untuk menjaga kelestarian alam semasa bercuti. Para pelancong akan lebih prihatin tentang impak pilihan dan tabiat mereka, yang akan menyebabkan mereka mencari hotel yang lebih mesra-alam, atau memilih destinasi pilihan kedua yang kurang menjadi tumpuan pelancong untuk membantu ekonomi dan membina semula komuniti tempatan.  

Sektor pelancongan adalah sebuah daripada industri yang paling pesat membangun sebelum ini dan berdaya tahan yang kuat untuk pulih semula daripada krisis, sepertimana yang dilihat dalam tahun-tahun yang lalu. Keinginan orang ramai untuk melancong tidak akan terpadam.

Namun begitu, untuk membawa kembali para pelancong dan membina semula keyakinan mereka untuk bercuti memerlukan pendekatan dan kerjasama yang baharu. Seperti dalam cogan kata `bersatu kita teguh, bercerai kita roboh', ia memerlukan usaha sama dari semua pihak untuk mengatasi cabaran ini dan penyemarakkan semula sektor pelancongan secara selamat dan juga berkelestarian. - DagangNews.com