Oleh FABIO TIVITI
KRISIS COVID-19 memberikan impak yang besar terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia, yang terdedah kepada risiko secara langsung rentetan daripada tercetusnya pandemik global ini. Sebelum terjadinya krisis ini di Malaysia, PKS merangkumi sejumlah 99% daripada 920,624 pertubuhan perniagaan dalam negara.
Namun, menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lebih daripada 31,190 PKS telah berhenti beroperasi antara bulan Mac hingga Oktober 2020. Majoriti daripada perniagaan yang gulung tikar adalah kerana tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh, akses kepada teknologi, pengetahuan teknologi yang diperlukan, dan tidak berupaya untuk memacu operasi bagi memenuhi realiti terkini.
Walaupun diperakui bahawa COVID-19 telah memacu ke arah digitalisasi, masih terdapat pelbagai cabaran lagi yang perlu ditempuhi oleh PKS. Dalam usaha tergesa-gesa untuk menukar operasi perniagaan berteraskan dalam talian, banyak perniagaan berisiko untuk hilangkan arah tujuan transformasi tersebut, dan tidak mempunyai pelan tindakan yang jelas bagi rancangan perniagaan digital mereka.
Organisasi perlu memahami bahawa transformasi merupakan satu perjalanan yang perlu berasimilasi seiring dengan seluruh aspek perniagaan. Walaupun teknologi merupakan pemudah cara yang besar dan penting, namun ia bukanlah mengenai menggunakan alat digital demi mencapai proses pendigitalan.
Malah, ia adalah mengenai tumpuan kepada usaha penyampaian penyelesaian secara efektif yang akan mengukuhkan perniagaan agar berdaya maju dalam era baharu masa kini. Dalam menghadapi pandemik global yang telah memusnahkan banyak perniagaan kecil, langkah pendigitalan yang strategik bukan sahaja kritikal bagi memastikan perniagaan terus bertahan – ia juga merupakan perbezaan utama yang akan memastikan kelestarian perniagaan.
Perjalanan untuk pulih memerlukan ketangkasan
PKS sebenarnya berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menerajui era kecerdikan digital; mereka memiliki banyak keupayaan tersendiri yang memberikan manfaat dalam menangani cabaran akan datang.
1. Ketangkasan (Agility)
Saiz PKS yang sederhana merupakan salah satu kekuatan utama mereka. Sesiapa sahaja yang tidak dapat tidur semalaman akibat dari gangguan dengungan nyamuk akan mengetahui bahawa musuh tidak perlu bersaiz besar bagi mencetuskan huru hara – perkara yang sama juga berlaku dalam lanskap perniagaan yang penuh dengan gangguan.
PKS boleh menjadi sangat lincah, tangkas dan ‘bergerak di bawah radar’ dalam memberi cabaran kepada peneraju pasaran melalui pelancaran dan penawaran produk bersasar, yang disesuaikan mengikut permintaan pelanggan yang sentiasa berubah dan kemunculan trend pasaran baharu.
Tambahan pula, kerenah korporat yang sedikit, kitaran keputusan yang singkat dan proses kelulusan yang merangkumi pelbagai peringkat bermaksud PKS dapat melaksanakan pelancaran dan penawaran produk baharu dengan pantas, menukar arah perjalanan produk atau menceburi pasaran baharu dengan lebih mudah berbanding rakan perniagaan multinasional mereka (MNC).
Sebaliknya, PKS perlu berwaspada untuk mengelakkan reaksi spontan berimpak besar tanpa menjalankan penyelidikan yang sepatutnya. Pastinya, menukar keutamaan secara kerap akan memesong dan mencelarukan fokus strategik syarikat. Bagi melindungi diri daripada risiko ini, PKS boleh memacukan proses membuat keputusan dengan pantas dan melabur dalam pembelian perisian analisis, yang memanfaatkan sains ramalan bagi menjana ramalan berasaskan data, yang dapat membantu SME merumus keputusan secara pintar.
2. Inovasi
PKS lebih cenderung sebagai penyelesai masalah yang kreatif, menjana idea berinovasi, dan merencana konsep yang akan mengubah lanskap teras perniagaan mereka.Apabila terdesak untuk mengubah pasaran mahupun melaksanakan transformasi industri, produk atau pemprosesan, PKS merupakan agen perubahan yang berani dan tidak takut untuk mengambil risiko dalam memacu dan menerajui usaha baru.
Tempoh berlakunya krisis juga turut membuka peluang baharu untuk perkembangan perniagaan jika syarikat memilih untuk merebut peluang tersebut. PKS perlu memanfaatkan persekitaran yang merudum ini untuk mencetus dan mencari kaedah kerja dan sumber penyelesaian baharu, melancarkan aliran kerja, mencipta produk baharu dan mempertingkatkan produk sedia ada.
Aplikasi penyelesaian, seperti Product Lifecycle Management (PLM), boleh membantu mempercepatkan proses inovasi dan pembangunan produk dalam bidang ini, manakala geran dan langkah penyelesaian dari kerajaan akan memperkasakan PKS untuk memanfaatkan skim pembiayaan yang ditawarkan dalam melaksanakan inisiatif perubahan yang diperlukan.
3. Celik Digital (Digitally Aware)
PKS masa kini perlu menjadi celik digital dalam memanfaatkan transformasi teknologi bagi keuntungan mereka. Sama ada mereka merupakan syarikat baharu atau perusahaan besar, PKS pada masa kini tidak dapat diasingkan daripada terma seperti Internet of Things (IoT), automasi, Artificial Intelligence (AI) dan Machine Learning (ML).
Malah, melalui kemajuan dari sektor awam dalam pengunaan teknologi canggih, seperti Geran Pendigitalan PKS kerajaan Malaysia, PKS semakin terbuka untuk menerima pakai perisian digital dan e-perdagangan untuk berkomunikasi dengan pihak berkepentingan, menjalin kolaboratif kerja secara jarak jauh, serta mengoptimumkan dan menyelaraskan proses kerja mereka.
Selain daripada mempertingkatkan produktiviti, teknologi juga merupakan kunci utama yang boleh memperkasakan PKS dalam usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang berkembang pesat secara pantas, dan dengan lebih konsisten.
Pelanggan masa kini menuntut penyampaian perkhidmatan dan produk yang berkualiti tinggi, dengan tahap kemudahan dan perincian setanding dengan apa yang ditawarkan oleh perniagaan dan perusahaan besar. Oleh itu, demi memenuhi permintaan pelanggan, PKS perlu menggunakan teknologi untuk menyampaikan produk mengikut kehendak pelanggan, dan menawarkan perisian pengurusan rantaian bekalan yang akan menyimpan produk yang betul pada masa yang tepat, serta sains penetapan harga dinamik untuk kekal relevan dalam persekitaran ekonomi yang pantas berubah.
Saiz PKS yang sederhana juga bermakna mereka boleh menggunapakai pelbagai jenis teknologi pada semua peringkat operasi dan merombak legasi sistem mereka – tanpa proses perbincangan dan masa menunggu yang lama – lantas meraih ganjaran dari pelaburan mereka secepat mungkin.
Berbeza dari apa yang diyakini oleh orang ramai, PKS memiliki banyak ciri-ciri yang membolehkan mereka mengharungi cabaran masa kini dengan lebih baikdan meraih kejayaan dalam ekonomi digital yang bergerak pantas.
Kita bersyukur kerana perisian moden berfungsi untuk mempertingkatkan lagi semua kelebihan ini melalui pengunaan sistem yang boleh diukur dan dicapai bagi membolehkan PKS mengekalkan ketangkasan mereka, selain memberikan ramalan pintar berasaskan data yang mampu memaklumkan mengenai peluang yang mungkin ada untuk pertumbuhan perniagaan.
Lebih banyak PKS kini menyedari bahawa teknologi akan kekal sebagai satu keutamaan dalam dunia digital masa kini – persoalannya adalah, apakah yang akan mereka lakukan mengenainya? - DagangNews.com
Fabio Tiviti merupakan Timbalan Presiden ASEAN, Infor yang merupakan sebuah syarikat perisian awan. Menawarkan misi aplikasi kepada 67,000 pelanggan di lebih dari 175 negara, perisian Infor direka untuk memberikan nilai lebih dan kurang berisiko, dengan kelebihan operasi yang lebih mampan.