KUALA LUMPUR 27 Jun - Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bagi menambah baik tata kelola negara dan akauntabiliti sektor awam.
RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan dijadual dibahaskan pada sesi persidangan petang ini, Berita Harian melaporkan.
Jabatan Audit Negara dalam kenyataannya memaklumkan, Akta Audit 1957 (Akta 62) yang sedang berkuat kuasa ketika ini tidak pernah dipinda sejak 33 tahun yang lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.
Katanya, pindaan itu akan membabitkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada beberapa peruntukan sedia ada, iaitu pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.
Selain itu, katanya pengauditan melalui pendekatan 'follow the public money audit', tertakluk kepada Kementerian Kewangan (MOF) atas dasar kepentingan awam.
"(Selain itu) kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang melibatkan pengauditan dan pelaksanaan audit susulan terhadap apa-apa syor, pemerhatian atau pandangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)," katanya.
Katanya, menerusi pindaan itu, diharap dapat menambah baik dan memperkukuh tata kelola serta membolehkan pengawasan dana awam dijalankan dengan lebih efektif bagi mengelakkan ketirisan wang awam yang merugikan kerajaan. - DagangNews.com