Ranhill, China Energy Engineering rancang kerjasama pembangunan kemudahan bekalan air minuman di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Ranhill, China Energy Engineering rancang kerjasama pembangunan kemudahan bekalan air minuman di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Ranhill Utilities Berhad merancang untuk bekerjasama dengan China Energy International Group Co Ltd (CEIG) bagi pembangunan projek kemudahan bekalan air minuman serantau awam-swasta di Indonesia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CEIG bagi bersama-sama meneruskan projek bekalan air Ir H Djuanda/Jatiluhur II, selain membangunkan dan bekerjasama dalam projek berpotensi di Asia Tenggara.

 

“Skop kerja terperinci, hak dan tanggungjawab serta kewajipan setiap pihak yang kerjasama akan dirundingkan kemudian sebelum dimuktamadkan serta dipersetujui semua pihak yang terlibat," katanya.

 

CEIG ialah anak syarikat China Energy Engineering Corp Ltd iaitu sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong dan Bursa Saham Shanghai.

 

Berdasarkan laman web Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam Indonesia, projek Ir H Djuanda/Jatiluru II terdiri daripada pembinaan saluran masuk, saluran paip penghantaran, loji rawatan air dan rangkaian pembangunan utama.

 

Projek itu akan 30% dibiayai oleh ekuiti dan 70% hutang. Ia membawa tempoh konsesi selama 30 tahun. - DagangNews.com