Ranhill mulakan kerja ganti paip air lama di Kelantan bernilai RM61.5 juta | DagangNews Skip to main content

Ranhill mulakan kerja ganti paip air lama di Kelantan bernilai RM61.5 juta

Mengikut kontrak, paip air sedia ada dari jenis paip simen asbestos (AC) akan diganti dengan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan keluli lembut.

TANAH MERAH 9 Ogos — Ranhill Utilities Berhad melalui syarikat subsidiarinya, Ranhill Water Services Sdn. Bhd. (RWS) akan mula menjalankan kerja-kerja penggantian paip air lama Kelantan sepanjang 103.01 kilometer dengan kos RM61.5 juta.

 

Di bawah pakej 1 yang membabitkan daerah Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai, paip air sedia ada dari jenis paip simen asbestos (AC) akan diganti dengan paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan keluli lembut.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, penggantian itu bertujuan mengatasi isu bekalan air di negeri itu dengan kawasan terlibat adalah Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

 

“Saya berharap pelaksanaan projek ini dapat mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dan seterusnya mengurangkan kebocoran paip di kawasan terlibat,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Penggantian Paip Lama seluruh Negeri Kelantan Pakej 1 di Surau Taman Indah di sini.

 

Azami berkata projek itu dilaksanakan berikutan kebanyakan paip di Kelantan merupakan paip AC yang telah berusia dan merupakan satu daripada faktor menyebabkan NRW.

 

“Kajian telah dibuat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi penukaran paip lama secara berperingkat dan penukaran ini akan melibatkan dua pakej dengan Pakej 2 di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.

 

“Kerajaan Kelantan mengambil berat isu bekalan air dan sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh negeri,” katanya.

 

RWS memenangi kontrak penggantian paip Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui tender terbuka yang kompetitif pada 2019. - DagangNews.com